(PANAS) Kementerian Kesihatan tidak sabotaj industri vape, kata timbalan menteri | - Blog Hanz -
Breaking News
recent

(PANAS) Kementerian Kesihatan tidak sabotaj industri vape, kata timbalan menteri





Kementerian Kesihatan menafikan wujudnya cubaan mensabotaj pengusaha dan industri dan vape tempatan seperti didakwa Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) semalam.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat berhubung kononnya kementerian ada membina 2 buah kilang yang akan memonopoli penjualan vape.

"Tidak ada. Kita tidak akan buat begitu. Tidak ada perkara begitu (sabotaj). Sebenarnya kita cuma melaksanakan undang-undang yang ada pada kita iaitu Undang-undang Racun dan Peraturan Kawalan Tembakau.

"Dan hari ini, bagi vape kita dah masukkan perkataan wap dan akan jadi peraturan maksudnya kena patuhi.

"Saya dah sebut kita tidak buat lebih. Jadi tidak ada (kilang) setakat ini.

"Saya tidak ada laporan, jadi saya tidak boleh komen. Saya tidak ada maklumat terkini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.

Semalam Presiden Ikhlas Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa terdapat pihak dalam Kementerian Kesihatan cuba mensabotaj pengusaha dan industri vape tempatan.

Ridzuan berkata, cubaan mensabotaj industri itu dilakukan dengan mewujudkan kilang di 2 lokasi iaitu di Johor dan Shah Alam, Selangor di mana kilang di kawasan berkenaan akan menguasai industri vape tempatan.

Isu penggunaan vape menjadi polemik di negara ini dan sering kali wujudnya percanggahan kenyataan dikeluarkan kerajaan dan agensi berkaitan.

Terkini, beberapa negeri mengeluarkan larangan menghalang penggunaan vape seperti Johor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Semalam Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan hukum penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram.

Perkara tersebut dimaklumkan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin pada sidang media selepas Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia di Sepang, Selangor malam tadi.

Beliau berkata semua ahli muzakarah bersetuju dengan memberi pandangan hukum penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram.

Mengulas mengenai larangan Majlis Fatwa Kebangsaan, Hilmi berkata pihaknya kini menunggu jawatankuasa khas untuk mengumumkan tindakan seterusnya susulan kenyataan badan itu.

"Kita sambut baik larangan fatwa, tapi sebarang keputusan (sama ada ikut atau tidak) kita akan bincangkan dalam jawatankuasa. Itu kita kena bincang dan tunggu. Kalau tanya, saya tidak tahu," katanya.



Also See and Read This : READ MORE
hanz

hanz

No comments:

Post a Comment

Related

Powered by Blogger.