IKHLAS mendakwa terdapat dua lokasi kilang pembuatan perisa vape | - Blog Hanz -
Breaking News
recent

IKHLAS mendakwa terdapat dua lokasi kilang pembuatan perisa vape






KUALA LUMPUR 21 Dis. – Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) mendakwa terdapat dua lokasi kilang pembuatan perisa vape yang dipercayai milik individu berkepentingan di dalam kerajaan akan dibina tidak lama lagi.

Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya percaya pembukaan kilang itu bertujuan memonopoli industri yang membawa pulangan RM2.8 bilion setahun kepada pengusaha sedia ada.

“Kilang berkenaan akan dibina di Johor dan juga Shah Alam, kita (Ikhlas) percaya ia akan beroperasi sebaik sahaja Kementerian Kesihatan mewujudkan satu akta baharu mengenai penjualan perisa vape.

“Menurut sumber, kilang di Shah Alam dimiliki oleh seorang ketua bahagian parti politik manakala di Johor pula merupakan jalinan kerjasama antara pelabur luar dengan rakyat tempatan,” katanya dalam sidang akhbar mengenai unsur rasuah dan salah guna kuasa untuk mensabotaj pengusaha vape, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan pengusaha vape sekitar Lembah Klang bagi membincangkan perkara berkenaan.

Antara keputusan yang diambil ialah merancang mengumpul kira-kira 10,000 pengusaha vape bagi menyerahkan memorandum kepada pihak berkuasa.

Yang turut hadir, Pengasas Bersama Q Nine Vape, Datuk Shahril Anuar dan wakil pengusaha vape, Datuk Azuan Manas.

Mengulas lanjut Mohd. Ridzuan mendakwa, kakitangan kementerian terlibat dalam usaha mensabotaj industri vape apabila menjalankan operasi rampasan tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Kami merancang untuk berkumpul tetapi belum lagi memutuskan di mana, sama ada di Parlimen, Bukit Aman ataupun Pejabat Perdana Menteri. Ia bergantung kepada keputusan yang bakal dibuat.

“Selain itu, Ikhlas juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat orang politik yang terlibat di dalam kes ini,” katanya.

Mohd. Ridzuan menegaskan, pengusaha vape sedia ada yang terdiri daripada 98 peratus belia bumiputera memerlukan pembelaan dari pihak kerajaan bagi mengelakkan perniagaan mereka terkubur.

“Ini soal periuk nasi pengusaha belia, saya menggesa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk memainkan peranan membantu perniagaan mereka yang kini sudah terjejas hampir 80 peratus,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menggesa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam segera mengeluarkan kenyataan mengenai perkara tersebut.


Also See and Read This : READ MORE
hanz

hanz

No comments:

Post a Comment

Related

Powered by Blogger.