
Hakim dalam kes komital mengapa pengacara Akademi Fantasia, AC Mizal tidak patut dipenjarakan ekoran responden dikatakan gagal menjelaskan tunggakan nafkah berjumlah RM50,000 sejak 2004, hari ini menegur agar pihak berkenaan tidak memandang remeh perkara itu.
Hakim syarie Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat di sini, Abdul Malik Soleh melontarkan teguran kepada peguam syarie, Siti Aishah Din yang mewakili AC Mizal. Teguran itu dibuat melalui peguam syarie, Azmi Mohd. Rais yang mewakili Shafnie Zainuddin kerana Siti Aishah tidak hadir.
Terdahulunya, Azmi memberitahu mahkamah bahawa peguam berkenaan masih belum memfailkan afidavit jawapan ekoran daripada masalah yang timbul.
Mendengarkan kata-kata Azmi, Abdul Malik bertanya apakah masalah yang dihadapi oleh Siti Aishah.
Azmi bagaimanapun tidak menyatakan apakah masalah yang dihadapi oleh peguam syarie tersebut.
Abdul Malik: ''Ingatkan anak guam sahaja yang menghadapi masalah. Rupa-rupanya peguam juga turut berdepan dengan masalah. Mahkamah sudah memberikan masa terlalu lama dan sepatutnya hari ini mahkamah sudah mendengar alasan yang diberikan. Ini telah menjejaskan masa kedua-dua belah pihak dan masa mahkamah.
"Saya ingin tegaskan di sini, kes ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia akan menjejaskan masa semua pihak terutamanya masa mahkamah. Jadi mahkamah menetapkan 22 April sebagai tarikh sebutan akhir untuk responden mengemaskini afidavit jawapan bagi permohonan komital yang dikemukakan plaintif.''
AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zani, 37, dan Shafnie tidak hadir pada prosiding yang berjalan pada sebelah petang hari ini.
Responden berhadapan dengan satu perintah komital yang dimohon oleh plaintif di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam supaya defendan dipenjarakan kerana gagal menjelaskan tunggakan nafkah sebanyak RM50,000.
Pada 13 Januari lalu, mahkamah itu telah membenarkan bantahan awal AC Mizal untuk mengetepikan permohonan plaintif agar dia dipenjarakan ekoran kegagalan menjelaskan tunggakan nafkah dua anak lelakinya.
Mahkamah berkenaan berpendapat Shafnie sepatutnya memfailkan kes ke mahkamah yang mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes tersebut iaitu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, di Kajang.

Salam. Selepas 2 tahuh, kes ini masih berjalan. hari ini dan semalam melihatkan perbicaraan berjalan dgn 'perangai' peguam AC yg sangat memualkan. Dia perempuan patut tahun keadaan sebenar. Inilah bila peguam syarie pun dah "kering hati".
ReplyDeleteApa masalahnya utk AC? Bayar je la monthly. Jgn kantoi, bila kantoi macam ni la jadiknya, pulak tu nak tegakkan benang basah lagi...
Will always pray for Shafnie & kids..
/ss