TUDUHAN ZINA PERLU EMPAT ORANG SAKSI. | - Blog Hanz -
Breaking News
recent

TUDUHAN ZINA PERLU EMPAT ORANG SAKSI.





Zina, suatu perkataan yang masyarakat Islam secara umum mengetahui definisinya, iaitu persetubuhan dilakukan seorang lelaki dengan seorang perempuan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syarak, bukan pasangan suami isteri, pelaku kedua-duanya orang yang mukallaf dan persetubuhan itu tidak termasuk dalam takrif persetubuhan meragukan (wati’ syubhah). 

Menurut hukum syarak, seorang penzina muhson iaitu seseorang yang sudah baligh, berakal, merdeka dan sudah pernah berkahwin, apabila disabitkan melakukan perzinaan wajib dikenakan hukuman hudud (rejam) iaitu dibaling dengan batu sederhana besar hingga mati.

Manakala bagi penzina ghair muhson iaitu seseorang penzina yang tidak cukup syarat dinyatakan di atas, hendaklah disebat sebanyak 100 kali sebatan, seperti firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat dua yang bermaksud: 
“Perempuan berzina dan lelaki berzina, hendaklah kamu sebat tiap seorang dari kedua-duanya 100 kali sebat dan jangan kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Dan hendaklah disaksikan hukuman seksa dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang yang beriman.” 
Pesalah juga boleh dihukum buang negeri selama setahun seperti terdapat dalam kitab Kifayatul Ahyar, juzuk dua, muka surat 178 yang bermaksud:

”Lelaki atau perempuan yang melakukan zina bukan muhsin wajib dikenakan ke atas mereka sebat 100 kali sebat dan buang negeri selama setahun”

Zina boleh disabitkan dengan ikrar atau pengakuan si pesalah atau dengan keterangan empat saksi yang cukup syaratnya. Namun, sejarah Islam mencatatkan bahawa kebanyakan sabitan zina pada zaman Rasulullah SAW adalah melalui pengakuan salah.

Dalam hadis riwayat Abu Hurairah bahawa seorang lelaki datang mengadap Rasulullah SAW dalam masjid dan mengaku melakukan zina. Baginda berpaling ke arah lain seperti tidak melayannya sehingga lelaki itu mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali. Selepas itu Baginda bertanya, ‘adakah engkau gila?’ Dia menjawab ‘tidak’. Rasulullah SAW bertanya lagi, ‘adakah engkau berkahwin?’ Dia menjawab ‘ya’. Lalu Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat membawa lelaki terbabit untuk direjam.

Dalam suatu riwayat dari Sulaiman Buraidah, bahawa seorang wanita dari qabilah al-Ghamidiyah datang berjumpa Rasulullah dan mengaku bahawa dia mengandung hasil perbuatan zina. Baginda meminta wanita itu pulang untuk melahirkan dan menyusukan anak itu terlebih dulu sehingga tamat tempoh susuan baru beliau diperintahkan untuk direjam.

Seseorang yang mengaku melakukan zina kemudian menarik balik pengakuannya diterima penarikan balik itu kerana Rasulullah SAW diriwayatkan menegur sahabat Baginda dengan keras apabila mereka meneruskan hukuman terhadap Ma’iz Malik yang melarikan diri ketika hukuman dijalankan. 

Tindakan menyebarkan perbuatan itu kepada khalayak ramai dan menjadi perbincangan umum suatu yang tidak baik untuk masyarakat. Disebabkan mahukan kemenangan politik, nilai moral manusia dikikis. Kehendak emosi dan politik menjadi lebih penting daripada tanggungjawab undang-undang dan moral.

Dari sudut lain, ia mencerminkan kelemahan umat Islam dan memburukkan Islam di mata masyarakat bukan Islam. Walhal, segala prosedur perundangan perlu dilakukan di mahkamah, bukan di tempat lain. Menuduh seseorang yang baik lagi suci melakukan zina tanpa mengemukakan empat saksi lelaki yang adil hukumnya haram, termasuk dalam dosa besar dan boleh dikenakan hukuman had qazaf (sebat) sebanyak 80 kali sebatan dan tidak boleh diterima penyaksiannya selama-lamanya kerana dia adalah orang fasiq.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat empat bermaksud: 
“Dan orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat saksi. Maka sebat mereka 80 kali sebatan dan jangan kamu terima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka itu orang yang fasiq.” 
Walaupun dalam ayat itu menyebut kesalahan menuduh zina kepada wanita, ijma’ ulama bersepakat bahawa tuduhan kepada lelaki juga termasuk dalam ayat ini.


Wassalam.
hanz

hanz

No comments:

Post a Comment

Related

Powered by Blogger.