PERANGI FITNAH ELAK KEMURKAAN ALLAH | - Blog Hanz -
Breaking News
recent

PERANGI FITNAH ELAK KEMURKAAN ALLAH





1. Fitnah adalah perbuatan keji yang sangat dicela oleh syarak, justeru kesan radiasi fitnah jauh lebih dahsyat dari membunuh. Allah swt telah menegaskan perkara ini di dalam firmanNya yang bermaksud:  
Fitnah itu lebih dahsyat [kesan dan akibatnya] dari membunuh. ( surah al Baqarah Ayat 191). 
2. Fitnah adalah angkara perlakuan manusia jahat yang suka mencetuskan kekacauan, pergolakan, permusuhan, pengkhianatan, dendam, huru hara dan 1,001 kerosakan di kalangan masyarakat umat manusia. Sedang Islam yang diturunkan oleh Allah swt adalah agama yang harmoni, memelihara kesejahteraan bermasyarakat dan melarang sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang mencetus perpecahan dan permusuhan seperti fitnah, tohmah dan khianat.

3. Firman Allah swt:
Sesungguhnya orang-orang yang mencetuskan bencana fitnah [untuk memesong dan memporak - perandakan] orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka jahannam (kerana perbuatan keji itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat). Surah Al Buruj. Ayat : 10

4. Sebagai insan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah swt. selayaknya menjauhkan diri, malah memerangi perbuatan fitnah agar ia tidak menjadi amalan yang berleluasa di kalangan masyarakat di dalam negara kita. Sebagaimana yang telah saya tegaskan tadi, bahawa fitnah adalah perbuatan yang dicetuskan oleh manusia fujur [jahat] yang dipengaruhi pemikiran dan jiwanya oleh syaithan durjana.

5. Umumnya objektif pelaku dan penyebar fitnah adalah untuk menolak kebenaran yang gagal disangkal dengan hujjah mereka. Fitnah menjadi senjata yang paling murah dan mudah dihasilkan untuk memerangi kebenaran. Ia juga adalah senjata yang digunakan sejak berzaman termasuk untuk menolak kebenaran yang diperjuangkan oleh Nabi saw. 


Firman Allah swt :
Sesungguhnya mereka telah lakukan fitnah semenjak dahulu lagi, dan mereka merancangkan terhadapmu [wahai Muhammad] berbagai tipu daya, sehingga datanglah kebenaran, dan nyatalah [kemenangan] ugama Allah [Islam], sedang mereka benci kepadaNya. Surah At Taubah. Ayat : 48
6. Sungguhpun demikian, akan pasti ada fitnah yang menjalar di setiap zaman dan tempat. Ia dinyalakan dan ditiup agar umat manusia bertelagah dan bermusuhan. Justeru itu, kita tidak boleh berpeluk tubuh membiarkan api fitnah ini membakar kesejahteraan ummah dan membinasakan kebenaran yang diperjuangkan. Sungguhpun perit dan sengsara berdepan fitnah yang dihadapi, yakinlah bahawa Allah swt bersama dengan mereka yang memperjuangkan kebenaran. 
Firman Allah swt :
Kemudian, Sesungguhnya Tuhanmu [memberikan pertolongan] kepada orang-orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnah [oleh kaum musyrik], kemudian mereka berjihad serta bersabar, Sesungguhnya Tuhanmu [sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan] adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Surah An Nahl. Ayat : 110

7. Menyeru seluruh mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah swt agar menghindarkan diri dari fitnah dan bangkit menentang sebarang usaha melakukan fitnah lantaran inilah yang diperintah oleh Allah swt: 

Dan perangilah mereka sehingga tiada lagi fitnah dan jadilah satu-satunya cara hidup [yang diamal] milik Allah [Islam], maka apabila ia telah berakhir maka tiada lagi permusuhan kecuali ke atas orang-orang yang zalim. Surah al Baqarah. Ayat 193

8. Membiarkan fitnah berleluasa tanpa langkah berkesan diambil oleh orang-orang yang beriman dan bertaqwa untuk mencegahnya, maka tunggulah kebinasaan yang akan menimpa masyarakat ini. Kepada Allah swt kita mohon perlindungan daripada kebinasaan yang tidak mampu kita hadapinya kelak.

Malah apa yang lebih dibimbangi ialah murka dan azab Allah swt di akhirat ekoran sikap mendiamkan diri lalu memberi ruang kepada fitnah tersebar.

9. Mereka yang memegang amanah untuk menjaga dan memelihara kesejahteraan rakyat sebagai pemimpin yang diberi mandat agar memberi perhatian serius terhadap perkara ini. Sekali-kali jangan membenarkan fitnah menjadi amalan dalam politik kita. Kerana politik sedemikian hanyalah politik kotor lagi jijik pula berdepan dengan kemurkaan Allah swt.

10. Akhirnya marilah kita berdoa kepada Alllah swt agar menghindarkan diri kita daripada menjadi mangsa fitnah dan pada masa yang sama, kita juga berdoa agar kita tidak memfitnah orang lain.

Wassalam
hanz

hanz

No comments:

Post a Comment

Related

Powered by Blogger.