MENGELAK DARI BALA DAN KEMURKAAN ALLAH SWT | - Blog Hanz -
Breaking News
recent

MENGELAK DARI BALA DAN KEMURKAAN ALLAH SWT





Secara tersurat apa yang berlaku di Jepun suatu bentuk musibah dan bencana alam yang tidak dapat dielakkan. Ia termasuk dalam ruang lingkup kekuasaan mutlak Allah SWT yang Maha Berkuasa melakukan apa saja. Perlu diingat walau sehebat mana sekalipun teknologi garapan pemikiran manusia ia masih dangkal untuk menentukan apa yang akan berlaku pada hari mendatang.


Walau dengan kecanggihan teknologi yang ada, manusia mampu mengesan kejadian gempa bumi di bawah laut dan juga ombak tsunami pasti tidak dapat dielakkan jika benar Allah SWT menghendaki ia berlaku. Malah perkara ini termasuk dalam ketetapan qada dan qadar Allah SWT yang tidak juga menafikan konsep usaha dan tawakal kepadanya.


Secara tersirat ia sebenarnya satu daripada nikmat dan rahmat Allah SWT yang Maha Luas kepada hamba-Nya yang beriman agar berfikir dan merenung kepada setiap kejadian yang berlaku dengan pandangan mata hati. Ia sekali gus mengajak manusia untuk sentiasa bersyukur atas segala nikmat kurniaan Ilahi yang tidak terhitung banyaknya.


Mana tidaknya sehingga hari ini kita masih dipelihara daripada sebarang kejadian gempa bumi, tsunami, letupan gunung berapi dan huru-hara yang melanda sebahagian masyarakat dunia. Rakyat negara ini masih selamat, bebas bergerak ke sana ke mari, makanan dan segala keperluan asas mencukupi.


Segala nikmat ini hendaklah disyukuri dengan memperbanyak melakukan ketaatan sambil berharap belas kasihan dan rahmat daripada Yang Maha Kuasa. Apatah lagi pada akhir zaman saat dunia semakin uzur dan hampir kepada kemusnahan.


Jika tidak kemungkinan pelbagai musibah dan malapetaka bakal menimpa secara tiba-tiba tanpa disedari implikasi daripada kemurkaan Allah SWT terhadap perlakuan segelintir umat manusia yang tidak bersyukur ke atas nikmat yang dikurniakan-Nya dengan berbagai-bagai kerosakan yang dibuat, fitnah yang berleluasa tanpa langkah berkesan diambil oleh orang-orang yang beriman dan bertaqwa untuk mencegahnya, maka tunggulah kebinasaan yang akan menimpa masyarakat ini. Kepada Allah swt kita mohon perlindungan daripada kebinasaan yang tidak mampu kita hadapinya kelak. 


Malah apa yang lebih dibimbangi ialah murka dan azab Allah swt di akhirat ekoran sikap mendiamkan diri lalu memberi ruang kepada fitnah tersebar dan takut Allah menurunkan bala dan malapetaka seperti yang berlaku di negara Jepun tempohari.


Sebelum terlambat umat Islam juga harus menginsafi betapa gegaran dan gempa saat berlakunya hari kiamat adalah sesuatu yang menakutkan dan tiada sesiapa akan terselamat daripada kemusnahan seluruh alam.


Wassalam
hanz

hanz

No comments:

Post a Comment

Related

Powered by Blogger.