TAZKIRAH - Ashabul Ukhdud | - Blog Hanz -
Breaking News
recent

TAZKIRAH - Ashabul Ukhdud





Ashabul Ukhdud

Kisah ini dirakam dalam Al-Quran dan hadis-hadis yang sahih. Allah telah menerangkan kepada Nabi saw dalam surah al-Buruj, ayat 1-9. Manakala Rasulullah saw menceritakan kepada para sahabat seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Imam Ahmad dan Imam Tarmizi. Berikut adalah seperti yang ditulis oleh Dr. Wahbah Zuhaily dalam Tafsir al-Munirnya.

Riwayat kisah Ashabul Ukhdud yang berautoriti ialah sebagaimana yang diriwayatkan di dalam kita-kitab Sahih (al-Sihah) dari Nabi saw bahawa seorang raja memiliki seorang tukang sihir diRaja. Apabila tukang sihir tersebut meningkat usianya, dia memilih seorang anak remaja untuk mengajarnya ilmu sihir. Di antara rumah anak remaja tersebut dengan rumah tukang sihir itu ada seorang rahib yang mengajar dan memberi peringatan kepada masyarakat. Anak remaja tersebut tertarik dengan ajaran peringatan rahib itu. Pada suatu hari, di dalam perjalanannya anak remaja tersebut terserempak dengan sejenis binatang merayap atau sejenis ular yang menganggu orang ramai. Beliau mengambil seketul batu sambil berkata,"Wahai tuhan, sekiranya ajaran rahib itu lebih Engkau sukai dari ajaran sihir, maka Engkau bunuhlah ular itu dengan batu ini." Lalu dilontarnya batu tersebut dan berjaya membunuh ular berkenaan.

Ekoran peristiwa itu, anak remaja tersebut meneruskan pembelajarannya dengan rahib tersebut sehingga mahir dan mampu mengubati dan menyembuhkan penyakit sopak, kusta serta penyakit-penyakit lain. Pada suatu hari, salah seorang pembesar (sahabat) raja telah buta matanya dan berjaya disembuhkan oleh anak remaja tersebut. Semasa menghadap raja, raja bertanya kepada pembesar itu, "Siapakah yang telah memulihkan penglihatannmu?" Beliau menjawab,"Tuhanku." Mendengarkan jawapan itu raja murka lalu menyiksanya.

Seterusnya baginda telah diberitahu tentang anak remaja berkenaan lalu diseksanya anak remaja tersebut sehinggalah dikhabarkan tentang rahib, gurunya. Rahib ini juga enggan meninggalkan agamanya,lalu digergaji badannya. Kemudian didatangkan anak remaja tadi dan dibawa ke sebuah bukit untuk dihumbankan dari puncaknya. Remaja itu telah berdoa dan berjaya membangkitkan simpati masyarakat. Mereka telah mendesak dan akhirnya remaja itu terselamata. Seterusnya mereka membawanya menaiki Qurqur, iaitu sebuah bahtera kecil dan mereka cuba untuk menenggelamkannya. Anak remaja itu berdoa lagi, akibatnya kapal yang mereka naiki karam dan anak remaja itu sebaliknya terselamat.

Akhirnya anak remaja berkenaan berkata kepada raja tersebut,"Tuanku tidak dapat membunuh patik sehinggalah tuanku himpunkan manusia di suatu kawasan lapang dan kemudian tuanku salibkan patik di satu batang pokok tamar. Seterusnya tuanku ambil anak panah dari karung panah hamba dan panahlah hamba dengan sambil menyebut,"Dengan nama Allah, Tuhan anak remaja ini."

Raja tersebut memanahnya sebagaimana yang dinyatakan dan mengenai bahagian pipinya. Remaja tersebut meletakkan tangannya pada tempat panahan tersebut dan terus meninggal dunia. Melihat peristiwa tersebut orang ramai yang hadir berkata, "Kami beriman dengan Tuhan anak muda ini." Ketika itu ada yang menyebut kepada raja tersebut,"Telah berlaku apa yang tuanku bimbangi selama ini." Lalu raja memerintahkan supaya digali liang-liang yang diletakkan titian pada permukaannya dan dinyalakan api di dalamnya. Raja yang zalim itu mencampakkan sesiapa sahaja yang tidak ingin kembali dari agama mereka ke dalam api tersebut sehinggalah tiba giliran seorang wanita bersama bayinya.

Wanita tersebut takut dan teragak-agak dari dihumban ke dalam api tersebut sehinggalah bayi itu bertutur,"Wahai ibuku, bersabarlah. Sesungguhnya engkau di jalan yang benar dan ini hanyalah satu kesulitan kecil." Lalu ibu tersebut bersabar dan tabah menghadapinya. 

Sejarah itu berulang. Yang berbeza adalah watak, tempat dan masa berlakunya pengulangan sejarah tersebut. Kerana itulah memahami sejarah adalah penting bagi mendepani hidup di hari muka. Cerita Ashabul Ukhdud ini bukan cerita biasa. Di dalamnya terkandung pelbagai pelajaran untuk diambil iktibar bersama. Berikut adalah sebahagian pengajaran untuk dikongsi bersama.

1. Disebut dalam hadis, di zaman sebelum kamu.
Surah al-Buruj adalah surah Makiyyah. Zaman sebelum Islam memerintah. Justeru terlalu banyak cubaan yang diterima oleh Nabi dan para Sahabat. Justeru, Nabi saw setelah ditenangkan oleh Allah swt, baginda menenangkan para Sahabat bahawa penentangan yang berlaku di Mekah adalah lumrah bagi mereka yang menyeru kepada jalan kebenaran. Lalu diceritakan kisah ini agar para Sahabat bertambah yakin dan istiqamah di menyampaikan risalah Islam.

Malah, penentangan terhadap Islam akan terus berlaku seperti yang kita lihat pada hari ini. Kerana Islam tidak memerintah, maka kita akan dapati para ulama, pendakwah akan terus menerus dikeji dan ditindas semahunya oleh golongan yang memusuhi Islam.

2. Raja dan ahli sihir.  
Sebagai petunjuk bahawa sekalian pemerintah yang zalim itu akan ada lembaga penasihat mereka sendiri. Zaman Ashabul Ukhdud penasihatnya adalah ahli-ahli sihir. Sama seperti zaman Firaun. Sebagaimana yang diketahui umum, sihir itu datangnya dari syaitan serta lawan bagi mukjizat yang dikurniakan oleh Allah kepada para Rasul. Beramal dengan sihir bererti melawan kekuasaan Allah.
   
Begitu juga pada zaman moden ini pemerintah yang membenci Islam akan dikelilingi lembaga penasihat yang berpegang pada ideologi-ideologi ciptaan manusia yang berlawanan dengan fahaman Islam. Lalu setiap tindakan pemerintah akan dikawal menurut fahaman ideologi tersebut. Bila Islam kata politik dan agama itu tidak boleh dipisahkan, mereka kata sebaliknya. Bila Islam kata riba' itu haram, mereka kata halal. Bila Islam kata undang-undang dari Allah, mereka kata manusia lebih berhak. Dan sebagainya.

3. Ahli sihir mencari pengganti yang muda.
Ahli sihir sedar dia akan mati. Begitu juga lembaga penasihat moden hari ini. Justeru mereka perlu menubuhkan pusat pengajian bagi tujuan tersebut untuk memastikan ideologinya akan terus berkekalan. Mereka tahu sekiranya pengganti tidak dicari maka kebenaran akan terserlah. Di sinilah kita dapat lihat betapa pentingnya peranan pendidikan untuk membentuk fikiran generasi baru. Maka dalam sistem pendidikan itulah akan diserapkan fahaman yang menyalahi fahaman Islam. Contoh termudah adalah pembelajaran teori Darwin.

Sudah jelas secara akal fikiran manusia pun tidak mungkin kita ini berasal dari beruk. Tetapi disebabkan pendidikan kini ditaja oleh sistem sekular, maka teori tersebut terus disuburkan. Teori penciptaan manusia yang disebut di dalam al-Quran tidak dibincangkan secara tuntas. Darwin sudah mati, tetapi teorinya masih dipelajari. Begitulah kira-kiranya.

Sejak zaman dahulu semua orang sedar betapa pentinganya generasi muda dalam memimpin masa depan. Anak muda yang bersuara lebih ditakuti dari seorang tua yang bersuara. Sejarah telah membuktikan betapa medan Tiannamien menjadi saksi keberanian para pemuda China dan Revolusi Iran menyaksikan golongan pemuda yang teguh menumbangkan rejim Shah Iran. 

Dalam al-Quran juga diceritakan keberanian pemuda Ashabul Kahfi dan yang paling utama adalah kemenangan Islam pada zaman Rasulullah saw dahulu juga dipelopori oleh para pemuda Islam.

4. Berjumpa rahib dan dipukul oleh ahli sihir. 
Pemuda tersebut selalu lewat datang belajar dengan ahli sihir kerana mendengar pengajaran rahib itu terlebih dahulu. Selepas itu barulah dia tergesa-gesa datang menemui ahli sihir. Keadaan begini juga selalu diterima oleh mahasiswa yang cenderung kepada Islam. Mahasiswa sebegini selalu diugut agar mngutamakan pelajaran akademik lebih dari segala-galanya.

Antara tuduhan yang selalu diterima adalah mahasiswa berpolitik. Sedangkan pada hakikatnya, mahasiswa yang menyertai parti politik itu terlalu sedikit, tetapi yang mula cenderung kepada Islam adalah ramai.

Apa salahnya mahasiswa menghadiri kumpulan-kumpulan kecil yang berdiskusi mengenai Islam? Kemudiannya, kumpulan yang sering berbincang tentang permasalahan semasa umat Islam ini dicop sebagai ekstrem dan sebagainya.

Kalau mahasiswa terlibat dengan seni muzik, aktiviti sukan, kebudayaan dan lain-lain tidak pula dipaksa agar belajar dulu dan bermuzik kemudian. Malah dikatakan mahasiswa cemerlang kerana tahu menyiapkan diri untuk masa depan. Itulah kepelikan yang berlaku sedangkan kesemua aktiviti tambahan tersebut ada manfaat yang banyak di kemudian hari. Setiap mahasiswa itu ada kecenderungan masing-masing. Ada yang minat agama, dakwah, muzik, silat, budaya, sukan dan sebagainya. Biarlah mahasiswa dengan pilihan mereka sendiri.

5. Rahib.
Rahib disini digambarkan sebagai pengasas dakwah. Seorang murabbi. Seorang murabbi begitu memainkan peranan penting dalam menasihat, mengatur strategi dakwah dan sebagainya. Disini menuntut kita agar berguru pada orang yang sebenar. Guru yang benar-benar ikhlas terhadap Islam. Bukannya mencari Islam pada orang yang salah.

Ciri-ciri guru yang benar-benar ikhlas adalah, bila syariat mengatakan hitam, maka hitamlah kata guru tersebut. Bila syariat mengatakan putih, maka putihlah kata guru tersebut. Kesilapan memilih guru dalam mengenali Islam membawa kita banyak salah faham. Akhirnya, ia ibarat belajar dengan seseorang yang mengatakan motorsikal itu tayarnya 3 dan gearnya di tangan.

Lalu dikatakanlah ini adalah motorsikal yang moderat dan tidak ekstrem. Sedangkan kalau begitu ia bukan lagi sebuah motorsikal. Belajar dengan guru yang salah juga begitu. Akhirnya hukum Islam yang telah jelas dan qati'e dikatakan boleh diubah-ubah mengikut hawa nafsu. Sedangkan syariat itu bersifat tetap.

6. Peristiwa pembunuhan binatang.
Di sini adalah titik tolak yang menyebabkan pemuda tadi bertambah yakin dengan ajaran rahib. Ada satu pengajaran besar yang perlu diambil iktibar bersama. Iaitu perhatikan ayat pemuda tersebut ketika berdoa. Si pemuda berdoa dengan nama Allah, meminta Allah menunjukkan kebenaran terhadap kebenaran rahib dan bukannya kebenaran ahli sihir. Ini mengajar kita agar berdoa untuk perkara yang benar bukan perkara yang salah. Kerana kalau si pemuda berdoa supaya ditunjukkan kebenaran ahli sihir, maka belum tentu dia akan bertambah imannya kerana kebenaran belum dibuktikan. Sebaliknya, setelah memohon agar ditunjukkan kebenaran dan dimakbulkan Allah, maka imannya bertambah.

Sebab itu dalam al-Quran disebut, kita membaca doa setiap hari, "Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat dan bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan jalan orang-orang yang sesat."

Ibnu Taymiyyah menyebut martabat keyakinan itu ada 3. Yakin, Ainul Yakin, Haqqul Yakin. Yakin adalah umpama kita percaya mendengar orang menyebut disitu ada madu dan madu itu manis. Ainul Yakin adalah umpama kita melihat sendiri madu tersebut ada. Haqqul Yakin adalah umpama kita merasa sendiri kemanisan madu tersebut. Di tahap itu sudah tentu tidak ada orang lagi yang boleh menipu kita dengan mengatakan madu itu masin.

Begitulah juga tahap keyakinan yang perlu kita capai dalam menyampaikan dakwah Islam. Pemuda tersebut sebenarnya telah yakin pada ajaran rahib tadi, namun peristiwa pembunuhan binatang itu telah meletakkan beliau di tahap keyakinan yang paling tinggi.

7. Bekerja sambil berdakwah.
Setelah keyakinannya bertambah, lalu ilmunya bertambah. Diberikan kelebihan padanya untuk mengubati pelbagai penyakit. Di samping berubat, pemuda itu berdakwah. Inilah keistimewaan pekerjaan seorang doktor. Dakwah lebih mudah disampaikan kepada orang sakit. Kerana disitu kepercayaan paling tinggi diberikan kepada doktor. Saat itu, semua yang diberitahu oleh doktor adalah benar pada kaca mata pesakit. Ini dibuktikan apabila pemuda dapat mengubati penyakit sahabat kepada raja. Akhirnya kalimah tauhid dapat diserapkan ke dalam hati sahabat raja tersebut.

Ini juga memberi pengajaran kepada kita, dalam bidang apa pun kewajipan dakwah itu ada. Tidak semestinya menjadi ustaz baru kita menyebarkan Islam. Tetapi Islam itu disebarkan mengikut kemampuan kita. Tahap kefahaman kita terhadap Islam. Asalkan kita sudah asas yang baik, maka tidak ada masalah untuk menyebarkan risalah Islam.

Kalau menjadi ustaz yang hanya menumpukan ceramah di surau dan di masjid, sudah tentu yang dapat manfaatnya adalah mereka yang pergi ke surau dan masjid sahaja yang rata-ratanya memang sudah baik. Tetapi kalau menjadi jurutera Islam, peguam Islam, akauntan Islam, peniaga Islam, doktor Islam, penyair Islam dan sebagainya sudah tentu kita dapat menampung mekanisma dakwah yang lompang yang tidak dapat diisi oleh para ustaz yang terhad dengan masjid dan suraunya sahaja.

8. Penyeksaan rahib dan pemuda.
Raja menjadi murka bila dikatakan ada tuhan selain beliau. Ia seolah-olah sama dengan sikap sesetengah dari kita yang menyanggah golongan yang menyebut al-Quran dan al-Sunnah perlu menjadi rujukan utama negara. Memang hari ini tiada siapa yang mengaku tuhan. Tetapi mereka menjadikan ideologi-ideologi ciptaan manusia itu sebagai tuhan. Seolah-olah ia tidak boleh diusik, ditegur dan diubah. Ideologi tersebut dijaga sepenuh hati.

Kononnya penukaran ideologi tersebut kepada ajaran Islam akan membawa huru hara dalam kehidupan. Negara menjadi mundur. Akan berlaku diskriminasi agama. Sedangkan ideologi itu manusia juga yang menciptakannya dan penuh kelemahan tetapi menerima al-Quran dan al-Sunnah itu datang dari manifestasi kefahaman kita terhadap aqidah Islam itu sendiri. 

Inilah punca utama rahib tersebut dibunuh. Beliau enggan mengubah kepercayaan beliau. Tuhan baginya hanyalah Allah. Raja di hadapannya adalah manusia sepertinya juga. Hari ini juga kita dapat lihat betapa ramai ulama dan para pendokong kebenaran diseksa dan dibunuh. Semata-mata mereka tetap dengan pendirian mereka iaitu undang-undang itu adalah dari Allah, bukan dibuat dari akal manusia semata-mata. Penjagaan mereka terhadap ideologi karut ciptaan manusia tersebut seolah-olah itulah tuhan yang mereka sembah.

9. Proses pembunuhan pemuda. 
Ajal maut di tangan Allah. Itu yang perlu kita yakin dan pegang sekuat hati. Bertawakallah kepada Allah, selagi nyawa tidak diizinkanNya untuk ditarik selagi itu kita tidak akan mati. Itulah kekuatan umat Islam yang bertaqwa. Kerana itu dalam peperangan, tentera Islam tidak takut mati kerana mereka yakin maut itu ditangan Allah.

Dalam hal ini juga, satu perkara yang menarik adalah pemuda tersebut tidak cuba melarikan diri. Dua kali gagal dibunuh maka dua kali jugalah pemuda tadi berseorangan kembali kepada raja tersebut. Sedangkan dia boleh sahaja lari untuk menyelamatkan diri. Di saat ini. pemuda tersebut telah berjaya menambat hati masyarakat secara keseluruhan. Justeru tindakan lari dari mengatakan yang haq oleh pemuda ini akan menyebabkan ramai yang hilang kepercayaan terhadap ajaran beliau. Ini memberi petunjuk, seorang 'alim yang mempunyai kedudukan yang tinggi dan dipercayai oleh masyarakat perlu terus menerus menyampaikan kebenaran walaupun tahu maut akan berlaku di depan mata. Kenapa mahu lagi pada dunia yang bersifat sementara kalau lorong menuju syurga yang kekal abadi sudah dibuka?

Umat Islam harus berbangga terhadap seorang tokoh bernama Ustaz Ishak Baharom. Merelakan diri dipecat dari jawatan mufti semata-mata menegur 3 orang wanita Islam dari terus menerus mencampakkan maruah diri mereka sebagai seorang wanita Islam.

Akhirnya, pemuda tersebut sendiri yang memberitahu raja bagaimana mahu membunuh beliau. Pelik bukan. Seolah-olah beliau memohon untuk dibunuh.

Tetapi sebenarnya pengajaran disini adalah perlunya kebijaksanaan pendokong Islam memerhatikan keperluan dan suasana masyarakat yang didakwahnya. Saat ini rakyat sudah mula menerima dan meyakini dengan kebenaran ajaran pemuda tersebut, justeru pada hemat pemuda itu, kematiannya boleh menyebabkan lagi ramai manusia akan beriman kepada Allah.

Zaman moden juga begitu. Pendokong Islam perlu pandai menilai suasana semasa masyarakat agar dakwahnya menjadi berkesan. Kaedah berdakwah tidak statik. Malah ia berkembang dan pelbagai. Kalau dahulu pendokong Islam perlu berjalan ke sana sini berceramah untuk menyampaikan Islam, tetapi hari ini duduk di hadapan komputer pun sudah boleh mengembangkan Islam ke seluruh dunia.

10. Situasi selepas kematian pemuda
Selepas kematian pemuda tersebut, ada riwayat yang menyebut sehingga 70 000 orang mati dibakar kerana yakin dengan ajarannya. Satu jumlah yang besar untuk zaman tersebut. Berbondong-bondong manusia beriman kepada Allah walaupun mereka tahu mereka akan dibakar kelak. 

Ini adalah satu pengajaran yang menyuruh kita kalau sudah nampak kebenaran di hadapan mata, maka janganlah bertangguh dan memberi alasan lagi. Usah menjadi seperti orang-orang Yahudi, golongan munafik dan musyrikin yang memohon kepada Nabi saw agar menunjukkan kebenaran baginda. Namun setelah mukjizat ditunjukkan, majoriti mereka menuduh Nabi saw menggunakan sihir dan sebagainya. Hanya sebahagian kecil sahaja yang beriman setelah ditunjukkan mukjizat. Sikap tidak mahu menerima kebenaran setelah diberikan keterangan yang nyata bukanlah sifat seorang Muslim. 

11. Ibu dan bayinya disuruh terjun ke dalam parit berapi.
Di sini membawa peringatan kepada kita bahawa wanita dan anak kecil juga sama-sama menyumbang terhadap dakwah Islam. Walaupun barangkali mereka tidak duduk di barisan hadapan, tetapi pahala yang diperolehi adalah sama seperti kaum lelaki yang lain. Islam sentiasa menggalakkan umatnya menyumbangkan tenaganya mengikut kemampuan yang ada.

Peristiwa ini juga menunjukkan betapa kejamnya para pendokong kebatilan. Bayi dan kaum wanita juga dibunuh seperti kaum lelaki. Tetapi Islam, dalam peperangan hanya tentera musuh sahaja yang perlu dibunuh dan orang tua, kanak-kanak serta wanita adalah antara yang perlu dilindung.

Begitulah beberapa pengajaran yang wajar kita renung bersama. Kisah Ashabul Ukhdud. Kisah ini penuh dengan pelbagai pengajaran untuk diambil iktibar oleh umat Islam seluruhnya. Islam sentiasa menganjurkan kedamaian sesama manusia. Tetapi tidak bagi musuh-musuh Islam. Mereka tidak jemu-jemu untuk menghapuskan Islam, syariat malah syiarnya juga dari berkembang. Inilah yang telah diperingatkan oleh Allah dalam ayat 8-9, surah al-Buruj: Mereka tidak menyeksa orang-orang mukmin itu melainkan orang-orang mukmin itu beriman kepada Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji yang mempunyai kerajaan langit dan bumi. Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu.


Wallahua'lam.
hanz

hanz

No comments:

Post a Comment

Related

Powered by Blogger.