KENAPA AMALAN-AMALANKU TIDAK DITERIMA ALLAH?? | - Blog Hanz -
Breaking News
recent

KENAPA AMALAN-AMALANKU TIDAK DITERIMA ALLAH??




Setiap kali selepas solat, hati kecilku tertanya-tanya samaada amal ibadah ku ini sampai ke atau tidak sampai kepada Allah swt. Mungkin semasa solat tadi ku kira tidaklah berapa khusyuk sangat oleh kerana gangguan dari bunyi musik yang kuat dari rumah jiran sebelah. Bila solat waktu di malam hari, tumpuan dan khusyukku ketika solat sangat baik berbanding waktu siang hari. Itu yang terdetik dihatiku takut-takut amalan yang aku lakukan selama ini takut-takut tidak sampai kepadaNya.

Tanya diri anda jika sejak baligh sehingga kini anda bersolat dan membuat amal ibadah yang lain seperti berpuasa, agak-agaknya sampai ke amalan-amalan tersebut kepada Yang Maha Pencipta? Tentu yang dapat jawab adalah anda diri sendiri.

Orang-orang mukmin apabila melakukan amalan-amalan soleh, langit pun boleh terkoyak, demikian pulak dengan hijab, akan menjadi terkoyak. Amalan-amalan itu naik menuju Allah dengan menembusi pintu-pintu langit. Oleh itu apabila mati, ruhnya akan naik dan melalui pintunya yang telah terbuka.

Siapakah yang telah membukanya? Pembuka pintu tersebut ialah amalan-amalan solehnya dan zikirnya. Jika tidak memiliki amalan-amalan soleh, pintu-pintu dan jalan-jalan itu akan tetap tertutup rapat.

Maka apabila mati, ruh yang akan naik akan mendapati pintu-pintunya tertutup rapat. Demikian pula amalan-amalannya tidak mendapatkan jalan untuk menuju Allah SWT Allah berfirman:
Sesiapa yang kufur ingkar maka dia lah sahaja yang menanggung bencana kekufurannya itu dan sesiapa yang beramal soleh (yang membuktikan imannya), maka merekalah orang-orang yang membuat persiapan untuk kesenangan diri masing-masing." (Surah Al-Rum: ayat 44).
Amalan yang soleh ada dua syarat iaitu: 

1. Ikhlas kerana Allah semata dalam beramal.
2. Mutaba'ah iaitu mengikuti sunnah Nabi saw secara berterusan.

Tanpa dua syarat ini tidak boleh disebut sebagai amalan soleh, maka ia tidak akan naik menuju Allah kerana yang boleh menuju kepada-Nya hanyalah amalan yang bersih lagi soleh. 


Begitu juga dengan doa yang kita pohon kepada-Nya tidak akan sampai untuk Allah terima dan memperkenankan hajat hambaNya.

Jadi, marilah kita mencari apakah punca-punca yang menyebabkan amalan-amalan kita tidak menuju dan sampai kepadaNya. Sepuluh hijab yang menghalangkan perhubungan diantara hambaNya dengan Sang PenciptaNya.

1. Hijab Pertama -Bodoh Tentang Allah.
Tidakkah engkau mengenal Allah? Sesiapa yang mengenal Allah nescaya akan mencintaiNya. Tidak mengenali-Nya dengan baik dan bagus, orang yang tidak mencintai-Nya sama sekali tidak mengenal-Nya. Sesungguhnya engkau lebih mengenali-Nya akan besar cintanya kepada Allah. Jadi hamba yang baik lagi soleh akan mengenali-Nya lebih baik dengan ilmu tauhid-Nya.

2. Hijab Kedua - Bidaah.
Barang siapa berbuat bidaah, maka bidaahnya akan menjadi hijab antara dia dan Allah SWT sehingga ia terlepas daripadanya.

Rasulullah SAW bersabda:
Sesiapa yang mengada sesuatu yang baru dalam agama, padahal tidak ada perintahnya, maka dia itu tertolak." (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim).
Firman Allah SWT kepada orang-orang kafir:
Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasakan dirinya lebih baik) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk dilubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan (Al-A'Araf: 40)
3. Hijab Ketiga - Dosa Besar Yang Tidak Zahir.
Hijab seperti ini banyak sekali seperti yang terdapat pada diri kita. Contoh: bangga diri, sombong, dengki, ta'ajjub, riak. Dosa-dosa besar yang tersorok ini lebih besar daripada dosa-dosa besar yang nampak lebih besar daripada zina, minum arak dan mencuri. Dosa-dosa besar ini yang tersorok apabila terus menerus dalam hati menjadi hijab antara hati si hamba dengan Tuhannya. Sebab jalan menuju Allah hanya boleh dilalui dengan hati, bukan kaki. Kemaksiatan didalam hati sama ertinya dengan "lanun" yang suka memotong jalan menuju Allah.

4. Hijab Keempat - Pelaku Dosa Besar Yang Nyata.
Seperti mencuri, minum arak dan dosa-dosa besar lainnya. Kita mesti faham dalam masalah ini, bahawa tidak ada yang kecil dengan israr dan tidak ada yang besar dengan meminta ampunan. Israr ialah sentiasa menyalahi dan berazam untuk mengulang-ulang. Terkadang adanya maksiat kecil, tapi menjadi besar dengan berulang-ulang. Bagaimana dosa kecil menjadi dosa besar.

Contoh. 
4.1. Seorang lelaki memandang kepada seorang perempuan yang bukan mahramnya bererti matanya telah berzina, iaitu zina pandangan. Pada awalnya, zina pandangan itu lebih kecil daripada zina kemaluan. Tetapi dosa zina seperti ini boleh menjadi besar jika dilakukan secara berulang-ulang.

Ia memang tidak berazam untuk menundukkan pandangannya, malahan terus-menerus membebaskan pandangannya dalam perkara-perkara haram tersebut, oleh itu jadilah dosa kecil seperti gunung.

4.2. Menganggapkan ringan dan remehnya terhadap dosa kecilnya.

4.3. Bangga dengan dosa. Apakah engkau berasa bangga dengan sebab telah memperdayakan seorang wanita yang baik, apakah engkau bangga jika telah berjaya mempermainkan dan memalukannya.

Firma Allah SWT:
Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan memperolehi azab seksa yang tidak terperi sakitnya didunia dan diakhirat; dan (ingatlah) Alolah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (Surah An-Nur:19).
4.4 Meremehkan Perlindungan Allah.

4.5 Membuka Aib.

4.6 Menjadi Pemimpin yang diikuti. Seperti Hadis awal diblog penulis letakkan diatas sekali. 

"Sesiapa yang mengajak kejalan mengerjakan sesuatu amal yang menyesatkan, adalah ia menanggung dosa sebanyak dosa orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dosa itu dan dosa-dosa mereka."


5. Hijab Kelima - Para Perlaku Dosa-dosa Kecil.
Seperti yang telah disebutkan diatas, sesungguhnya dosa-dosa kecil boleh bertambah besar.

Beberapa dosa kecil pelakunya boleh menjejaskan ke dalam su'ul al-khatimah di akhir hayat. Na'uzu billah!

Tanda orang yang beriman ialah menganggap besar perbuatan jenayahnya, ia melihat dosanya sekecil apapun seakan besar yang membuatnya gelisah, sebab dia merasa Allah SWT sentiasa mengawasinya.

6. Hijab Keenam - Hijab Syirik.
Inilah hijab yang paling besar, tebal dan berat. Hijab ini boleh menghilangkan tauhid dalam hati seseorang. Syirik ada bermacam-macam, tetapi yang paling bahaya adalah syirik yang tersorok, tidak terlihat oleh mata (Al-syirik al-khafi).

Perkara ini boleh berlaku disebabkan tidak ada pengetahuan seorang hamba mengenai masalah ini. Kadang-kadang orang mengira bahawa dirinya telah soleh dan bertaqwa, telah menyembah Allah SWT semata-mata, mendekatkan dirinya kepada Allah SWT dengan ketaatan, melakukan perkara-perkara yang disukai-Nya seperti solat sunnah dan lainnya. Tetapi malangnya tidak sedar bahawa ianya telah melakukan syirik yang tidak nyata. 

7. Hijab Ketujuh- Hijab Orang Yang Berlebih-lebihan.
Kadang-kadang ada hijab kepada Allah SWT diantara seseorang dan perutnya.. sememang makan dan minum itu halal hukumnya. Tetapi Nabi SAW bersabda:
Seorang anak Adam hendaklah tidak memenuhi tempat yang jahat dalam perutnya (Diriwayatkan oleh Termizi).
Sebab jika isi perut penuh...tidurlah akal dan anggota badan pun jadi malas.

Kadang-kadang  hijab ada antara seseorang dan wang serta pakaian. Ia lebih menampakkan zahirnya. Rasulullah SAW bersabda:
Hamba uang dinar, hamba dirham dan hamba yang sentiasa lapar berpusing-pusing melakukan kemaksiatan (Diriwayatkan oleh Bukhari).
Jika seseorang berpakaian panjang dengan sombong maka katakanlah kepadanya: Pendekkanlah kainmu sedikit. Sebab Rasulullah SAW bersabda:
Kain yang melampaui mata kaki tempatnya di neraka (Diriwayat oleh Bukhari).
8. Hijab Kelapan - Hijab Orang Yang Lalai Kepada Allah.
Sikap lalai akan muncul di hati manakala ia berpisah daripada yang dicintainya iaitu Allah SWT, lalu mengikut hawa nafsu, syaitan dan akhirnya lupa.


Allah SWT berfirman:
Dan jadikan dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata: dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah emgkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan kami tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran (Al-Kahfi: 28).
9. Hijab Kesembilan - Hijab Tradisi.
Sebahagian manusia ada yang menjadi budak bagi sesuatu tradisi, adat yang buruk. Syaikh Ibnu Taimiyah berkata: "Tidak sah ibadahnya selama masih lagi ada penghambaan kepada selain Allah." Maka engkau harus ikhlas betul kepada Allah, agar dia boleh menerimanya.

10. Hijab Kesepuluh - Hijab Orang Taat Yang Berpaling.
Ini hijab orang-orang yang taat dengan membabi buta. Seseorang yang sentiasa melihat-lihat amalannya boleh menjadi amalan itu hijab antara dia dan Allah. Seharusnya ia tidak melakukan hal seperti itu, tetapi hanya mengamati anugerah dan menyaksikan aib dan amalan dirinya yang buruk.

Merenung anugerah Allah dan keutamaan-Nya kepadanya akan membantunya menjadi baik. Berfikir tentang amalannya, mengapa ia tidak melakukannya sesuai dengan yang dituntut. 

Itulah sepuluh hijab yang dapat menghalangi hubungan antara hamba dan Allah SWT. Setiap hijab diatas mempunyai peringkat yang berbeza-beza satu dengan lainnya.

Pernahkah kita menghitung beberapa banyak hijab setiap hari yang telah menghalangi daripada Allah SW. 

Yakin Kepada Allah dan yakinlah akan perjumpaan denganNya, sehingga hijab antara kita dan Allah hilang. Sesungguhnya hanya Allah yang boleh menghilangkan hijab-hijab ini. Semuga Allah SWT menerima amalan-amalan kita yang bersih dan ikhlas keranaNya.

Wasallam.
hanz

hanz

No comments:

Post a Comment

Related

Powered by Blogger.