FITNAH MEROSAKKAN PERPADUAN UMMAH. | - Blog Hanz -
Breaking News
recent

FITNAH MEROSAKKAN PERPADUAN UMMAH.




Fitnah melibatkan manusia dan manusia yang lain. Oleh itu dosa ini dikategorikan sebagai dosa sesama manusia. Maka dosa ini tidak akan diampunkan oleh Allah SWT kecuali orang yang membuat fitnah itu sendiri meminta ampun dari orang yang difitnahnya. 

Masa kini, menyebarkan fitnah seolah perkara yang kecil dan menjadi kebiasaan terutama sekali orang Melayu yang mengaku berugama Islam. Fitnah mereka seolah mendapat restu dari orang yang tertentu. Golongan ini menganggap, merekalah yang cukup berkuasa diatas bumi Allah ini. Undang-undang ditangan mereka. Hakim dan mahkamah akan menyebelahi mereka dan merekalah juara diantara juara membuat fitnah, menabur fitnah secara terang-terangan. Nau'zubillah minzalik.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). 

Betapa besar hukuman yang dikenakan terhadap mereka yang menjadi penyebar fitnah. Tidak masuk syurga! Jika tidak masuk syurga ke nerakalah tempatnya. Tidak ada istilah ‘duduk di tengah-tengah’ bagi mereka yang melakukan kejahatan.


Masyarakat yang dipenuhi budaya fitnah akan hidup dalam keadaan gawat. Sebelah pihak sibuk menyebarkan fitnah dan sebelah pihak lagi terpaksa berusaha menangkis fitnah itu.

Teknologi yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah. Penyebaran fitnah melalui blog, media tempatan yang berleluasa. Dalam arus pembangunan dan kemajuan, yang pesat di jalankan dewasa ini, umat Islam perlu berhati-hati agar mereka tidak terjatuh ke dalam fitnah yang berlaku secara terang-terangan di hadapan mata mereka serta yang berlaku tanpa di sedari dan tanpa dilihat dengan mata kasar mereka.  

Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu. Yang mempunyai blog sendiri secara tidak disedari menjadi agen pembawa fitnah yang maha dasyat ini perlu berhati-hati kerana fitnah bukan perkara kecil. Kamu juga nanti akan dihumbankan ke dalam neraka jahannam bersama tukang pembuat fitnah. 

Awaslah sentiasa dengan fitnah-fitnah yang berlaku melalui percakapan, fitnah pekerjaan, fitnah aqidah dan ideologi yang menyesatkan, fitnah menyaksikan kemungkaran dan maksiat yang berlaku di hadapan mata kerana semua bentuk fitnah tersebut boleh menghalang dan menyekat pembangunan dan perlaksanaan Islam sebagai ad-din (sistem hidup). Umat Islam sendiri boleh menghakis keimanan dan ketaqwaan kita dan sekaligus melemahkan ubudiyah kita kepada Allah SWT. 


Dalam usaha menyekat fitnah-fitnah ini kita perlu memahami dua perkara asas 

1. Memahami Islam sebagai ad-din melalui sumber-sumber yang muktabar atau dalam pengertian lain yang lebih khusus, memahami Islam malalui al-Quran dan Sunnah ar-Rasul SAW. Mempelajari Islam daripada ulamak-ulamak yang jelas kefahaman mereka mengenai Islam serta keiltizaman mereka dengan ajaran Islam dalam sebarang suasana. Dalam memahami Islam kita perlu belajar dan berakhlak Islam serta iltizam dengan ajarannya.

2. Memahami keadaan yang ada sama ada Islamik atau tidak. Dalam perkataan lain 
memahami realiti dari segi aqidahnya, ibadahnya, syariatnya, akhlaknya dan nilai-nilai lain. Adakah ia berasaskan Islam atau pun tidak?

Rasulullah SAW mengingatkan kita agar mengelakkan diri daripada terjatuh dalam fitnah yang menimpa umatnya laksana malam yang gelap gelita dengan sabda baginda yang bermaksud:

"Bersegeralah kamu mengerjakan amalan-amalan bagi menolak fitnah yang datang seperti kegelapan malam yang gelap gelita. Pada sebelah pagi seseorang itu beriman dan pada sebelah petangnya ia menjadi kafir dan pada sebelah petangnya ia beriman dan pada sebelah paginya ia menjadi kafir. Dia menjual agamanya dengan harta benda dunia."

Sabda Rasulullah SAW lagi berhubung dengan fitnah yang bermaksud:

"Masa akan menjadi dekat (pendek), ilmu akan diangkat, fitnah akan lahir, dicampakkan akan sifat bakhil dan berlaku dengan banyaknya ‘harju’. Maka mereka bertanya: Wahai Rasul, apakah maksud harju. Baginda menjawab: harju adalah pembunuh."

Sebenarnya apa yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis baginda, telahpun berlaku di dalam realiti kita hari ini. Ilmu telah diangkat atau ditarik balik. 

Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu ad-din atau ilmu syarak yang boleh memandu orang Islam kepada kebenaran, ilmu yang boleh menyelamatkan mereka daripada azab api neraka di akhirat kelak. Selain itu berlaku pembunuhan di sana sini.

Di dalam realiti sekarang, sungguh kurang ulamak-ulamak rabbaniyun (ulamak-ulamak yang takut kepada Allah SWT) yang memuliakan sifat-sifat zuhud, wara' dan sentiasa mengikut panduan Ilahi, menjadikan baginda SAW dan khulafa ar-Rasyidin sebagai panduan dan ikutan mereka, beramal dengan panduan al- Quran yang berbunyi: 
"Sesungguhnya pada diri Rasul SAW itu ikutan yang baik bagi kamu" dan beramal dengan hadis yang bermaksud:
"Hendaklah kamu beramal dengan sunnahku dan sunnah khulafa ar-Rasyidin, Mahdiyin selepas aku dan gigitlah ia dengan geraham kamu (yakni peganglah kuat-kuat dan janganlah lepaskan dia."
Untuk menjaga diri daripada terjatuh ke dalam keadaan fitnah atau pengaruh kebatilan, Huzaifah pernah berkata kepada Rasul SAW dengan katanya: "Adakah selepas kebaikan ini akan datang pula kejahatan?" Baginda menjawab; ‘Ya’, ada tetapi bercampur dengan ‘dakhan’". Huzaifah bertanya, "Apakah ‘dakhan’ itu?". Baginda menjawab, "Kaum atau golongan yang mengambil sunnah yang lain daripada sunnahku dan mengambil petunjuk lain daripada petunjukku. Kamu kenal mereka dan hendaklah kamu tentang mereka". Huzaifah bertanya lagi, "Apakah selepas ini ada keburukan lagi?" Baginda menjawab, ‘Ya’ ada iaitu pendakwah-pendakwah di tepi pintu meraka. Barangsiapa yang menyahut dakwah mereka, mereka akan menolaknya ke dalam neraka." Kata Huzaifah, "Bolehkah beri tahu sifat mereka, wahai Rasulullah SAW?" Baginda bersabda, "Mereka adalah sama warna kulitnya dengan kamu dan bercakap dengan bahasa kamu".

Rasulullah SAW memberi tahu umatnya tentang fitnah kehilangan sifat amanah dan paling susah untuk mendapat seorang yang bermaksud beramanah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

"Seorang manusia masing-masing membuat janji dan hampir tidak terdapat seorang pun yang menunaikan janjinya."

Seterusnya Rasulullah SAW menjelaskan bagaimanakah amanah Allah Subhanahu Wata’ala disia-siakan. Suatu hari seorang Arab datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya, "Bilakah akan berlaku kiamat?" Maka baginda menjawab, "Bila amanah di sia-siakan maka tunggulah kiamat (kehancuran)." Arabi itu bertanya lagi, 

Bagaimanakah amanah disia-siakan?" Rasulullah SAW bersabda, "Sekiranya sesuatu urusan itu diserahkan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat (yakni kehancuran)."

Wahai tukang pembuat fitnah! Pahala yang terkumpul dari ibadah yang kamu lakukan semasa hidup akan terhapus oleh fitnah kamu. Apabila dibangkitkan nanti, kamu adalah diantara orang yang muflis kerana semua pahala kamu telah diberi kepada orang yang kamu telah fitnahkan. Ketahuilah bahawa seksa kubur itu sangat dahsyat siksaanNya. 

Wasallam.
hanz

hanz

No comments:

Post a Comment

Related

Powered by Blogger.