Rasulullah saw mengajar kita bahawa setiap amalan bergantung kepada niat. Jika niat buruk, maka buruk pula amalannya dan jika niat baik, baiklah amalannya. Walaupun niat buruk dan amalan nampak baik, hasilnya tetap tidak dipandang Allah.
Hati cerminan kepada segala perbuatan. Setiap kali bertindak, hati kita mencerminkan niat sebenar daripada perbuatan itu. Jadi, hati lebih menggambarkan perbuatan. Sedangkan amalan, lebih sulit untuk dinilai kualitinya.
Justeru, Islam lebih condong menggarap hati daripada perbuatan. Kalau hati baik, maka perbuatannya pasti baik. Sebaliknya, meskipun perbuatan kelihatan baik, belum tentu hatinya baik.
Seluruh amal ibadat yang diajarkan Rasulullah SAW kepada kita sebenarnya dimaksudkan untuk menggarap hati agar menjadi baik, contohnya puasa. Tujuan berpuasa ialah mendapatkan kemampuan mengendalikan diri atau disebut takwa dalam terminologi Islam.
Takwa contoh kualiti hati. Orang bertakwa memiliki keteguhan hati untuk selalu berbuat baik dan menjauhi yang buruk. Orang bertakwa juga bersedekah ketika tiada mata melihat dan berbuat baik ketika semua orang menjadi jahat.
Seluruh aktiviti ibadah kita bertujuan melembutkan hati yang akan menyelamatkan kita ketika hidup di akhirat nanti, sedangkan hati kasar dan keras tertutup terhadap sekitarnya seperti firman Allah dalam surah al-Isra, ayat 72 yang bermaksud:
“Dan siapa di dunia ini buta hatinya, maka di akhirat nanti juga akan buta, dan lebih sesat lagi jalannya.”
Dalam Islam, ada beberapa tingkat kualiti hati yang buruk iaitu hati berpenyakit, keras, membatu, tertutup dan mati. Orang yang iri dan hasad dengki, benci, dendam, pembohong, kasar, pemarah dan sebagainya, dikatakan memiliki hati berpenyakit seperti disebutkan dalam surah al-Baqarah, ayat 10 yang bermaksud:
“Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.”
Hati yang pada awalnya berpenyakit, jika tidak segera diubati akan mengeras. Mereka yang terbiasa melakukan kejahatan, hatinya tidak lagi peka terhadap keburukan perbuatan itu kerana sering diulang dan menjadi biasa.
Mereka menganggap apa yang mereka kerjakan adalah benar malah normal seperti firman Allah dalam surah al-An’aam, ayat 43 yang bermaksud:
“Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka sudah menjadi keras dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebaikan apa yang selalu mereka kerjakan.”
Hati yang keras kalau tidak segera disedarkan akan meningkatkan keburukannya.
Al-Quran menyebut sebagai hati yang membatu semakin mengeras daripada sebelumnya. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 74 yang bermaksud:
“Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal antara batu itu sungguh ada yang mengalir sungai daripadanya dan antaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah daripada apa yang kamu kerjakan.”
Sesuatu yang sudah mengeras menjadi batu tentu sukar dilembutkan kerana sifat batu tidak akan lembut kecuali jika dihancurkan menjadi kecil tetapi bukan lembut. Begitulah juga hati, sukar melembutkan hati seperti tidak mungkin melembutkan batu menjadi kapas. Selepas itu, hati menjadi tertutup apabila tidak boleh lagi menerima getaran petunjuk.
Allah mengatakan hal itu dalam firman-Nya dalam surah al-Muthaffifin, ayat 14 yang bermaksud: “Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.”
“Sesungguhnya orang kafir itu, sama saja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak akan beriman. Allah sudah mengunci mati hati dan pendengaran mereka dan pembabitan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksa yang amat berat.”
Wassalam
No comments:
Post a Comment