LEMAH LEMBUT DALAM SEGALA URUSAN KEHIDUPAN. | - Blog Hanz -
Breaking News
recent

LEMAH LEMBUT DALAM SEGALA URUSAN KEHIDUPAN.






Firman Allah SWT bermaksud: 
"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka." (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Ayat ini diturunkan kepada Rasulullah SAW dengan tujuan membentuk peribadi sahabat serta pengikutnya yang terdiri daripada pelbagai karakter dan sikap. Dengan panduan ayat ini diharapkan semua matlamat perjuangan dapat dicapai, membuahkan hasil  membanggakan dalam waktu singkat.

Setelah ayat ini dihayati dan diterapkan oleh Rasulullah, terbukti hanya dalam tempoh 23 tahun Baginda berhasil membentuk sebuah masyarakat Arab jahiliah sebagai masyarakat yang makmur penuh pelbagai dimensi kecemerlangan dalam segenap aspek kehidupan.

Selaras seruan al-Quran kepada umat Islam supaya menghiaskan diri dengan sifat lemah lembut, maka dalam masa sama umatnya juga diperintahkan supaya menghindarkan diri daripada segala bentuk caci maki, prasangka buruk, tidak menerima pandangan orang lain, apatah lagi perbuatan yang mengakibatkan fitnah memfitnah antara sesama umat.

Menurut Kamus Dewan, lemah lembut didefinisikan sebagai elok perangai, halus budi pekerti, baik hati, berwajah ceria dan berlapang dada. Sifat luhur inilah yang menghiasi peribadi Rasulullah sehingga berjaya menyampaikan kalimah Allah di muka bumi ini.

Apa dihadapi Rasulullah sepanjang perjalanan dakwah selama 23 tahun adalah satu  metodologi dakwah yang difardukan kepada umat Islam supaya mereka dapat menyampaikan Islam dengan cara lemah lembut.

Sehubungan itu, Allah memuji sifat Rasulullah atas pendekatan dilakukan dalam berdakwah di samping memerintahkan umat Islam supaya mencontohi sifat serta peribadi terbilang Baginda.

Akhlak terpuji yang dianjurkan Islam supaya umatnya lemah lembut dalam segala urusan kehidupan dengan maksud mengawal kehendak hawa nafsu, perasaan dan emosi daripada menguasai diri seseorang Muslim.

Hawa nafsu, perasaan dan emosi yang tidak terkawal hanya menjurus umat manusia ke arah suasana hidup yang tidak tenteram, institusi keluarga yang porak peranda dan masyarakat yang tidak harmoni.

Jangan pula bersikap keras atau kasar dalam pergaulan seharian kerana orang di sekeliling akan segan untuk menghampiri. Malah, orang ramai akan mula menjauhi. Dalam hal ini, seorang pemimpin yang bersikap kasar dan keras dalam kepemimpinannya, tidak akan berjaya.

Tetapi, seorang pemimpin wajib tegas mempertahankan pendiriannya seperti mana ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam Perjanjian Hudaibiah biarpun tidak dipersetujui beberapa sahabat.

Seorang pemimpin dituntut bersikap lemah lembut terhadap semua rakyatnya tanpa memilih bulu. Pemimpin juga tidak boleh bersikap kasar dan berhati keras semasa menghadapi kerenah dan tuntutan rakyat.

Masyarakat pula hendaklah bersikap lemah lembut sesama mereka, menerima pandangan yang diutarakan dan berusaha menghapuskan bibit permusuhan daripada mengingkari. Perbezaan pendapat dan pandangan politik tidak seharusnya menjadi penghalang ke arah mewujudkan kesatuan.

Skop sifat lemah lembut amat luas, tidak terhad dalam konteks hubungan sesama manusia, malah turut membabitkan hubungan sesama makhluk lain.

Untuk menjadikan masyarakat sejahtera, contoh terbaik daripada Rasulullah dan sahabat sangat relevan untuk dipraktikkan. Akhlak Islam adalah penawar bagi segala masalah dan persoalan menimpa umat Islam.

Wassalam
hanz

hanz

No comments:

Post a Comment

Related

Powered by Blogger.