INDAHNYA MALAM PERTAMA | - Blog Hanz -
Breaking News
recent

INDAHNYA MALAM PERTAMA






Malam pertama adalah malam yang selalu dinantikan oleh setiap pasangan pengantin  yang baru berkahwin. Disebelah siang, pengantin lelaki atau perempuan akan menghiaskan diri dengan sebaik-baiknya luar dan dalam, supaya bila bersama-sama nanti akan mendapat kepuasan dan kenikmatan syurga dunia yang tak dapat dibayangkan. 


Malam penyatuan dua jiwa. Sebelum itu ada yang minum jamu dan ubat traditional serta memakai wangian yang boleh menaikkan nafsu bila bersama nanti. Bagiku wangian “drakkar” yang paling disukai oleh isteri. Sebab baunya cukup selesa dan tahan lama. 


Kata isteriku bau lelaki sejati. Seminggu sebelum malam pertama, setengah pengantin perempuan akan pergi  ke salun kecantikan untuk mandi bunga, susu atau mandi rempah supaya bau badan yang busuk dan kusam akan hilang. Hanya bau harum yang wangi dari hujung rambut sampailah kehujung kaki. Bayangkan kenangan malam pertama itu tak dapat dilupakan sampai bila-bila.

Tetapi ada satu MALAM PERTAMA yang akan dilalui oleh semua orang. Tetapi Malam Pertama ini bukanlah yang dinantikan oleh sesiapa pun mahupun seorang ulamak atau orang yang soleh. 


Ia adalah sebuah malam pertama di alam kubur yang akan meninggalkan isak tangis sanak saudara. Walaupun hari itu  mempelai sangat dimanjakan, dimandikan dengan seluruh badan terbuka. Tak ada sehelai benang pun menutupinya.Tak ada sedikitpun rasa malu walaupun seluruh badan digosok dan dibersihkan.

Kotoran dari lubang hidung dan qubul dikeluarkan. Bahkan lubang-lubang itupun ditutupi kapas putih. Itulah tubuh dan susuk kita yang akan dikapankan secantik dan seindahnya dengan wangian mawar dan kasturi kerana hendak mengadap Yang Maha Kuasa. Dipakai baju yang bersih lagi putih warnanya.

Pernahkah kita melihat kuburan? Pernahkah kita melihat gelapnya kuburan? Pernahkah kita melihat sempit dan dalamnya liang lahat? Pernahkah kita membayangkan kengerian dan kedahsyatan alam kubur? Sedarkah kita bahawa kuburan itu dipersiapkan untuk kita dan untuk orang-orang selain dari kita? Bukankah telah silih berganti engkau melihat teman-teman, orang-orang tercinta dan keluarga terdekatmu diusung dari dunia fana ini ke kuburan?

Apakah Malam Pertama Kita di Alam Kubur nanti asyik dan nikmat atau penuh derita dan sengsara?" Wahai anak Adam, apa yang telah engkau persiapkan saat malam pertamamu nanti di alam kubur? Tidakkah engkau tahu, bahawa ia adalah malam yang sangat mengerikan dan menakutkan. 

Malam pertama kerananya para ulama' serta orang-orang yang soleh menangis dan orang-orang bijak mengeluh. Apa tidaknya, kala itu kita sedang berada di dua persimpangan dan di dunia yang amat berbeza. 

"Suatu hari pasti engkau akan tinggalkan tempat tidurmu (di dunia), dan ketenangan pun menghilang darimu. Bila engkau berada di kuburmu pada malam pertama, demi Allah, fikirkanlah untung nasibmu dan apa yang akan terjadi padamu di sana ?"

Hari ini kita berada di dunia yang penuh keriangan dengan anak-anak, keluarga dan sahabat handai, dunia yang diterangi dengan lampu-lampu yang pelbagai warna dan sinaran, dunia yang dihidangkan dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat serta minuman yang pelbagai, tetapi pada keesokannya kita berada di malam pertama di dalam dunia yang kelam gelap-gelita, lilin-lilin yang menerangi dunia adalah amalan-amalan yang kita lakukan, dunia sempit yang dikelilingi tanah dan bantalnya juga tanah. 


Pada saat kita mula membuka mata di malam pertama kita di alam kubur, segala-galanya amat menyedihkan, tempik raung memenuhi ruang yang sempit tapi apakan daya semuanya telah berakhir. Itukah yang kita mahukan? Pastinya tidak bukan? Oleh itu beramallah dan ingatlah sentiasa betapa kita semua akan menempuhi MALAM PERTAMA DI ALAM KUBUR! 

Di dalam usahanya mempersiapkan diri menghadapi malam pertama tersebut, adalah diceritakan bahawa Rabi' bin Khutsaim menggali liang kubur di rumahnya. Bila ia mendapati hatinya keras, maka ia masuk ke liang kubur tersebut. Ia menganggap dirinya telah mati, lalu menyesal dan ingin kembali ke dunia, seraya membaca ayat: 
"Ya Rabbku, kembalikanlah aku semula (ke dunia), agar aku dapat berbuat amal soleh terhadap apa yang telah kutinggalkan (dahulu)." (Surah Al-Mu'minun, ayat 99-100)

Kemudian ia menjawab sendiri: "Kini engkau telah dikembalikan ke dunia wahai Rabi'" Dan disebabkan hal tersebut, Rabi' bin Khutsaim didapati pada hari-hari sesudahnya sentiasa dalam keadaan beribadah dan bertaqwa kepada Allah! 

Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kematian dan sakaratul maut yang bakal menjemputmu? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kuburan dan kengerian yang ada di dalamnya? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut akan hausnya di hari penyesalan? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut kepada api Neraka di Hari Kiamat nanti? 

Sesungguhnya kematian pasti menghancurkan kenikmatan para penikmatnya. Oleh itu, carilah (kenikmatan) hidup yang tidak ada kematian di dalamnya. "Ya Allah, tolonglah kami ketika sakaratul maut!

Wasallam.
hanz

hanz

No comments:

Post a Comment

Related

Powered by Blogger.