"Minta Sedekah" Bantu Indah Water Konsortium | - Blog Hanz -
Breaking News
recent

"Minta Sedekah" Bantu Indah Water Konsortium


KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air hari Isnin "meminta sedekah" kepada Parlimen supaya meluluskan peruntukan tambahan RM15 juta bagi membantu Indah Water Konsortium (IWK) terus menjalankan perkhidmatan pembentungan.

Menterinya Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata syarikat rawatan kumbahan milik kerajaan itu sering mengalami kerugian dan tidak dapat menampung kos operasi hanya berdasarkan kutipan bil pembentungan.

"Kalau IWK diurus sebagai satu syarikat, saya pasti ia sudah bankrap kerana tidak mampu kendali kos-kos yang tinggi. Sebab itu hari ini saya meminta Anggota Parlimen semua membantu IWK dengan meluluskan peruntukan RM15 juta supaya IWK boleh jalankan perkhidmatan untuk pembentungan.

"Minta sedekah ini, sebab syarikat ini tidak mampu menjalankan tugas tanpa bantuan kerajaan," katanya semasa menggulung Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2010) 2010 bagi kementerian tersebut di Dewan Rakyat di sini.

Beliau berkata kos operasi IWK bagi tahun lepas ialah RM757.4 juta sementara jumlah bil yang dikutip ialah RM369.849 juta.

Katanya dengan kos operasi yang semakin tinggi setiap tahun, IWK tidak mampu menjalankan tugas mereka dengan hanya bersandarkan kepada bayaran bil yang dikenakan.

Beliau berkata tarif pembentungan yang dikenakan IWK adalah sangat rendah berbanding perkhidmatan yang dijalankan iaitu RM2 sebulan bagi perumahan kos rendah, RM3 bagi perumahan di kampung dan perumahan yang selebihnya akan dikenakan maksimum sehingga RM8.

"Saya rasa tidak ada sebab rumah-rumah yang menggunakan perkhidmatan pembentungan IWK enggan membayar, itu tidak munasabah," katanya.

Beliau berkata sehingga kini 92 peratus pengguna IWK membuat pembayaran bil namun lapan peratus lagi yang kebanyakannya terdiri daripada pihak industri sering tidak menjelaskan pembayaran.

-- BERNAMA


HOT SITE --> http://www.schoolloansconsolidation.co.cc
hanz

hanz

No comments:

Post a Comment

Related

Powered by Blogger.