Anda tidak suka ditipu jadi tentunya juga tidak patut menipu. Umum dipercayai yang perhubungan yang jujur merupakan yang terbaik. Namun ada beberapa perkara yang perlu anda rahsiakan demi tidak menyinggung perasaan si dia dan menjaga keamanan dalam perhubungan.
1. Sebab Anda Putus Dengan Kekasih Terakhir
Dia tidak suka anda bercerita tentang kekasih yang lepas, walaupun jika ianya perkara buruk. Lelaki memang tidak suka pasangannya terlalu banyak bercerita tentang lelaki lain. Jadi tidak perlu beritahunya mengapa kamu putus dengan kekasih atau kekasih-kekasih terdahulu. Cukup dinyatakan yang anda tidak serasi dengannya.
2. Rasa Rendah Diri Kamu
Anda rasa miliki banyak kekurangan, namun jangan kongsikan segalanya dengan si dia. Selalunya rasa rendah diri itu cuma dirasa oleh kita seorang sahaja, pada orang lain tidak ada apa-apa yang kurangnya. Jika anda tidak henti-henti bercakap tentang kekurangan diri, ini akan merimaskan si pendengar. Mereka juga mungkin berpendapat anda cuba pancing pujian dengan berpura-pura bersedih tentang kekurangan diri.
3. Rasa Kagum Anda Pada Dia
Tidak salah memujinya sekali-sekala namun jangan terlampau pula. Ia mungkin dilihat sebagai usaha anda untuk membodeknya dan akan dikhuatiri terdapat udang di sebalik batu. Walaupun dia tahu pujian itu ikhlas, dia mungkin pula berfikir yang kamu sebenarnya tidak mempunyai pendirian sendiri dan mudah bersetuju dengan segala yang dilakukannya. Jangan hingga dia merasakan pendapat anda tidak penting pula!
4. Perangai Sebenar Kawan Baik Anda
Jika anda mahu si dia menghalang anda daripada berkawan dengan si kawan baik itu, cara paling mudah adalah dengan menceritakan segala-galanya yang berlaku dalam hidup kawan anda. Anda dan rakan mungkin sekadar berkongsi masalah masing-masing, namun para lelaki secara otomatik berfikir yang anda sedang “mengumpat” tentang rakan itu dan apa sahaja yang anda ceritakan akan dipandang negatif. Cerita tentang kawan yang terbeban dengan terlalu banyak tugasan di tempat kerja mungkin dilihatnya sebagai seorang pemalas. Cerita tentang pergaduhan kecil antara kawan anda dan pasangannya memberi gambaran yang dia suka bergaduh. Pandangan negatif ini mungkin kerana pasangan anda cemburu dengan kawan baik itu kerana dia orang yang paling rapat dengan anda selain teman lelaki atau suami. Kemudian, mereka akan cuba menghalang anda daripada meneruskan persahabatan atau terlalu rapat dengan alasan bimbang anda akan terikut-ikut perangai negatif ini.
5. Perangai Sebenar Anda
Bukannya mahu anda menyamar seolah-olah tiada kekurangan, namun seboleh-bolehnya rahsiakan perkara-perkara peribadi yang tidak perlu dia tahu, contohnya bila anda cukur bulu ketiak dan bulu kaki, sikap anda yang suka membandingkan saiz buah dada dengan wanita lain, perkara-perkara yang paling liat anda lakukan seperti tidak suka cuci pinggan sehingga sinki penuh atau tidak suka lipat kain baju, mahupun berapa lama anda bersolek atau suka menyendiri dalam kamar mandi. Biar dia tahu tentang perkara-perkara baik tentang diri kamu dahulu sebelum dia mengetahui sendiri ciri-ciri rahsia kamu suatu hari nanti.
6. Anda Tidak Suka Kawan-Kawannya
Sekumpulan lelaki yang rapat mempercayai rakan-rakan mereka hingga mati. Malahan kebanyakan mereka lebih cepat mempercayai rakan daripada isteri dalam hal-hal lain selain hal rumahtangga. Ini kerana selalunya pengalaman hidup yang dilalui bersama merupakan punca mereka rapat berkawan, jadi pada mereka rakan-rakan mencerminkan diri mereka sendiri, dan tentunya sifat-sifat yang jelas kelihatan hanya yang baik-baik belaka. Jika anda cuba menegur apa-apa sikap buruk kawan mereka, tidak mustahil anda pula yang akan dicop sebagai seseorang yang suka mencari kesalahan orang lain walaupun sekecil zarah.
7. Anda Tidak Suka Hadiah Pemberiannya
Nasihat ini bukan sahaja untuk pemberian si dia, malah bagi sesiapa sahaja yang berikan anda hadiah. Buruk perangai betul apabila seseorang telah bersusah-payah memikirkan apa hadiah yang paling sesuai untuk anda dan membelanjkan sejumlah duit untuk membelinya, kemudian anda dengan mudah mencemuhnya. Cuba fikirkan perasaan pembeli, lebih-lebih lagi jika anda tahu mereka sebenarnya tidak berkemampuan untuk beli barang yang mahal-mahal namun diusahakannya juga demi diri anda.
No comments:
Post a Comment