Kehidupan Abadi Di Akhirat | - Blog Hanz -
Breaking News
recent

Kehidupan Abadi Di Akhirat




Kehidupan di dunia ini sangatlah singkat berbanding kehidupan di akhirat. Ada hamba yang ingin hidup selamanya di dunia yang fana ini berbanding di akhirat yang kekal abadi. Di dunia yang singkat ini jika boleh biarlah umur kita panjang untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT dan perbanyakkan kebajikan dari keburukan. Akhlak dan kebaikan seseorang seiring dengan amal yang baik akan mendapat rahmat Allah SWT. Tanpa rahmat Allah SWT, segala amal ibadah menjadi sia-sia kerana tidak diterimaNya.


Umur umat Nabi SAW di zaman ini yang paling lama bertahan hanya 100 tahun. Jika kita mencapai umur 83 tahun di dunia ini. Masa di akhirat hanya baru 1 jam. Setengah jam di syurga bersamaan 43 tahun di dunia. Jika anda baru berumur 43 tahun sekarang. Masa di syurga hanya baru setengah jam. Bayangkan betapa pendek dan singkatnya kita tinggal di bumi Allah SWT.

Waktu Allah SWT jadikan Nabi Adam as dan hawa tinggal disyurga selama setengah jam waktu disyurga, dan Nabi Adam as tinggal selama 957 tahun didunia. Betapa singkatnya waktu dibumi berbanding disyurga. Sama-samalah kita renungkan bahawa kehidupan kita amat singkat dan kejarlah untuk kesana kerana disitulah kehidupan terakhir kita yang abadi.

Firman Allah SWT:
Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan gurau senda dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui. (Surah al-'Ankabut: 64)
Ingatlah semua benda di atas muka bumi ini diciptakan dengan satu tujuan. Begitu juga manusia diciptakan untuk satu tujuan sahaja. Ia adalah satu fakta yang sangat pasti bahawa semua benda yang kita lihat di sekeliling kita adalah untuk tujuan yang khusus: 
Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (Surah al-Mulk: 2).
Sebagaimana yang diterangkan di dalam ayat diatas, Allah SWT meletakkan manusia di atas muka bumi ini sementara untuk menguji mereka. Dia menguji kita dengan apa yang kita hadapi di dunia ini. Dia menciptakan kehidupan ini untuk membezakan orang-orang yang beriman daripada orang-orang yang tidak beriman, dimana mereka akan dibersihkan daripada dosa dan layak untuk memasuki syurga. Dengan kata lain,  dunia ini hanya medan ujian dimana kita boleh mendapatkan keredaan Allah SWT.

Sebahagian besar manusia sangat mencintai dunia ini seakan-akan mereka tidak akan pernah mati, sehingga mereka menjauhi kehidupan agama, tidak ingat mati dan akhirat. Padahal, kehidupan dunia yang sangat mereka cintai ini sesungguhnya sangatlah singkat dan sementara.

Bahkan orang-orang yang umurnya sangat panjang pada suatu saat pasti akan menghadapi kematian. Di samping itu, kehidupan dunia ini sesungguhnya tidaklah sebagaimana yang tampak. Allah SWT mengungkapkan rahasia ini kepada manusia dalam beberapa ayat al-Qur’an:

“Allah SWT bertanya, ‘Berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi?’ 

Mereka menjawab, 
"Kami tinggal (di bumi) sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang menghitung.’ Allah berfirman, ‘Kamu tidak tinggal (di bumi) melainkan sebentar saja, kalau kamu sesungguhnya mengetahui.’ Maka apakah kamu mengira bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main, dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Q.s. al-Mu’minun: 112-15).
Orang yang bijaksana ialah orang yang menghisab dirinya sendiri (dan menahan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan jahat) dan melakukan amalan-amalan yang mulia untuk kebaikan selepas mati; dan orang-orang yang bodoh ialah seseorang yang menyerahkan dirinya kepada godaan-godaan dan keinginan dan berusaha menjauhi daripada Allah untuk memenuhi hawa nafsunya. (Tirmidhi)

Sebagaimana yang dinyatakan disini, tiada apa yang lebih penting daripada perbuatan-perbuatan yang dilakukan untuk mengelakkan diri daripada hukuman api neraka. Dalam situasi tertentu, seorang pelajar akan  belajar dengan tekun untuk lulus, seorang peniaga yang ingin mengumpul kekayaan yang banyak, dan walau bagaimanapun, terdapat juga mereka yang sanggup mengorbankan apa sahaja untuk mendapatkan prestij. Tetapi, tidak ada jaminan mereka ini akan hidup lama untuk mencapai segala cita-cita mereka. Sebagai contoh, pelajar itu mungkin tidak hidup lama untuk melihat hari graduasinya. Walau bagaimanapun, satu perkara yang pasti, dia akan kembali kepada Tuhannya dan akan diberi buku amalan tetang segala perbuatannya pada Hari Kiamat kelak:
"Sesungguhnya orang-orang yang tidak mengharapkan (tidak percaya akan) pertemuan dengan Kami, dan merasa puas dengan kehidupan dunia serta merasa tenteram dengan kehidupan itu dan orang-orang yang melalaikan ayat-ayat kami. Mereka itu tempatnya ialah neraka, disebabkan apa yang selalu mereka kerjakan." (Surah Yunus: 7-8)
Penyakit, kemalangan atau usia tua, di mana kita perlu mengambil pengajaran adalah bukti bahawa dunia ini bukanlah tempat untuk kita berasa terikat:
"Dan tidakkah mereka (orang-orang munafik)memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, kemudian mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pelajaran." (Surah at-Tawba: 126)
Sebagai bukti daripada ayat ini, "Kamu mengkhendaki harta benda duniawi sedangkan Allah mengkehendaki (pahala) akhirat (untukmu). Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (surah al-Anfal: 67). 

Allah SWT berulang kali mengingatkan kita bahawa dunia ini tidak sempurna supaya hamba-hamba Allah boleh mendapat tempat yang lebih sempurna di akhirat.

Jangan sesekali mengabaikan peringatan ini dan ingatlah kita perlu mecari keredhaan Allah SWT untuk melayakkan diri mendapat kebahagiaan yang kekal abadi. Allah SWT telah menerangkan di dalam al-Qur'an bahawa barang sesiapa yang terikat dengan kehidupan yang singkat ini akan kehilangan kehidupan yang abadi di akhirat kelak:

Barangsiapa yang mengkehendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang yang mengkehendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagianpun di akhirat. (Surah ash-Shura: 20)

Dalam ayat-ayat ini, Allah SWT menyuruh manusia untuk cintakan akhirat kerana ia adalah lebih baik dan berkekalan “Dan kurnia Tuhan kamu adalah lebih baik dan kekal.” (Surah Taha: 131)

Sementara itu, ingatlah bahawa Allah SWT akan berikan kepada orang yang benar-benar beriman, yang  inginkan kehidupan akhirat, kehidupan yang baik di dunia ini juga. Orang-orang mukmin adalah mereka yang mencapai nikmat terbaik daripada Allah SWT, di dunia dan di akhirat.

Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan (dalam kehidupan) di akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat (janji) Allah SWT. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar. (Surah Yunus: 64) 

Sekian wasallam.
hanz

hanz

No comments:

Post a Comment

Related

Powered by Blogger.