Jejak Rasul 17 jelajah Eropah Timur | - Blog Hanz -
Breaking News
recent

Jejak Rasul 17 jelajah Eropah Timur



SETELAH 16 musim ke udara, rancangan dokumentari berbentuk ilmiah yang sememangnya sinonim dengan kehadiran bulan Ramadan, Jejak Rasul kini memasuki musim yang ke-17.
Menariknya, setelah memaparkan pelbagai kisah para nabi dan rasul serta sahabat pada musim-musim sebelumnya, Jejak Rasul 17 membawa penonton untuk mengenali sejarah penyebaran Islam di Eropah Timur.

Salah seorang penerbitnya, Mat Nasir Yusof berkata penonton rancangan berkenaan akan dapat menyelami tentang budaya, resam hidup dan sejarah lampau penduduk Islam berketurunan Slavic, Tatar serta Caucasus di negara Rusia, Ukraine, Dagestan dan Chechnya.
“Kami telah memilih negara-negara tersebut kerana berdasarkan kajian yang telah dibuat, kami mendapati Islam sudah mula tersebar di negara-negara Eropah Timur sejak tahun 642 menerusi sebuah tempat dinamakan Derbent yang terletak di Dagestan.
MASJID Juma’ merupakan salah satu masjid yang terdapat di Mackhachkala, Dagestan.


“Pada mulanya kami sekadar ingin membuat penjelajahan di Derbent sahaja, namun bila difikirkan semula, adalah lebih menarik lagi sekiranya kami menjelajah di seluruh Eropah Timur,” ujarnya.
Menurut Mat Nasir, krew produksi Jejak Rasul 17 yang menjalani sesi penggambaran sejak bulan Mac hingga pertengahan April 2011 telah dibahagikan kepada tiga buah kumpulan.
Ujarnya, kumpulan pertama telah diketuai oleh Mazlin Nordin selaku penerbit merangkap pengarah menjalani penggambaran di Moscow dan Ukraine, manakala kumpulan kedua dikendalikan oleh Wan Farid Wan Mohamed selaku penerbit dan wartawan di bandar St. Peterburg dan Tatarstan.
“Saya pula diletakkan di dalam kumpulan ketiga selaku penerbit dan wartawan bersama-sama dengan pengarah, Mohd. Fadly Khamis dan jurukamera Mohd. Ali Othman menjalani penggambaran di Dagestan dan Chechnya,” ujarnya.
MAT NASIR YUSOF berpeluang meneliti sebuah al-Quran yang dipercayai dihasilkan pada kurun ke-11.


Ditanya mengenai pengalaman sepanjang menjalani penggambaran di kedua-dua buah tempat tersebut, Mat Nasir mengakui kru produksinya turut berhadapan dengan beberapa cabaran yang besar.
Antaranya, mereka mengalami kesukaran untuk mendapatkan visa memandangkan negara berkenaan masih lagi kawasan yang bergolak kerana peperangan dan visa hanya diberikan pada saat-saat akhir.
Jelasnya, meskipun Dagestan dan Chechnya adalah negara republik, tetapi keselamatan di kedua-dua negara tersebut masih di bawah kawalan pihak Rusia dan kebanyakan kawasan dikawal oleh tentera Rusia.
“Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuklah cuaca sejuk dan bahasa, namun kami merasakan penggambaran di negara tersebut perlu dilakukan kerana di Derbent misalnya menjadi pintu masuk kepada perkembangan agama Islam di Eropah Timur.
“Malah, kami juga terpaksa mengharungi jalan-jalan yang sukar dan bahaya untuk dilalui kerana ia adalah jalan yang telah digunakan oleh pendakwah Islam suatu masa dahulu,” jelasnya.
Sudah disiarkan sejak 1 Ogos lalu pada pukul 6.30 petang, Jejak Rasul 17 yang ke udara sebanyak 30 episod turut mencipta kelainan dengan konsep penerbitan yang baharu iaitu format definisi tinggi (HD).
Rancangan menarik Ramadan
PEMANDANGAN dari sebuah pergunungan yang terletak di antara sempadan Chechnya dan Dagestan.

Sepanjang bulan Ogos ini, dua buah stesen di bawah Media Prima Berhad (MPB) iaitu TV3 dan TV9 tidak ketinggalan menyiarkan rancangan menarik sempena meraikan kehadiran bulan Ramadan.
Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen MPB, Ahmad Izham Omar berkata, pada tahun ini TV3 memilih Sesuci Fitrah, manakala TV9 pula Ramadan Di Hatiku sebagai tema untuk Ramadan tahun ini.
“Kandungan rancangan yang akan disiarkan di kedua-dua saluran berkenaan adalah merangkumi pelbagai rancangan yang berbentuk ilmiah, teladan dan keinsafan menerusi dokumentari, drama dan telefilem.
“Di samping itu, rancangan yang berbentuk masakan juga tidak ketinggalan untuk disiarkan memandangkan rancangan tersebut turut mendapat permintaan yang tinggi daripada penonton,” ujarnya.
Selain Jejak Rasul 17, TV3 turut menyiarkan rancangan dokumentari yang cukup menarik iaitu Dari Masjid Ke Masjid Tanah Tenggara.
Ia adalah sebuah rancangan yang memaparkan tentang keindahan seni bina masjid-masjid di Asia Tenggara seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja.
Untuk telefilem pula, TV3 menerusi slot Cerekarama menyiarkan tiga buah telefilem menarik iaitu Sehelai Rambut Dibelah Tujuh (6 Ogos), Perempuan Di Hujung Ramadan (13 Ogos) dan Mengurai Rindu (20 Ogos).

Sementara itu, TV 9 menerusi slot Skrin Di 9 turut menyiarkan telefilem menarik seperti Jiman (3 Ogos) dan Sekilas Qalbu (10 Ogos), Isnin Selasa Rabu (17 Ogos) dan Lailatulqadar (24 Ogos).
Tidak ketinggalan rancangan berbentuk masakan turut disiarkan seperti Periuk HangusBiskut Apa? dan 5 Rancah 5 Rasa Edisi Ramadan yang disiarkan di TV3, manakala TV9 pula menampilkan Mencari Resipi Temurun dan Jom Berbuka.
hanz

hanz

No comments:

Post a Comment

Related

Powered by Blogger.