Apakah Polis Malaysia Balas Dendam @ Beri Peringatan? | - Blog Hanz -
Breaking News
recent

Apakah Polis Malaysia Balas Dendam @ Beri Peringatan?

polis-rasuah

KUALA LUMPUR – Dua warga negara Singapura dan seorang rakyat tempatan ditahan peronda lebuh raya Bukit Aman atas cubaan merasuah polis ketika operasi had pandu laju  di Kilometer 224 Lebuhraya Utara Selatan, Jumaat.
Penahanan itu dibuat hanya beberapa hari selepas seorang warga Singapura merakamkan tindakan seorang polis tempatan meminta ‘duit kopi’ dan klip itu kemudiannya disiarkan di sebuah laman web terkenal di negara itu.

Penahanan dua warga Singapura yang dibuat itu mungkin sebagai peringatan polis kepada warga Singapura agar jangan menawarkan rasuah kepada para anggota mereka.
Pegawai Turus Trafik Bukit Aman, Supt Hamzah Ahmad berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan berumur antara 34 dan 45 tahun, menawarkan antara RM30 hingga RM50 kepada anggota polis yang menahan mereka.
“Kenyataan mereka telah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau sebelum mereka dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuam Malaysia cawangan Seremban untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Beliau menambah, operasi berkenaan berlangsung selama dua jam bermula 9 pagi melibatkan 17 kakitangan yang diketuai Cif Inspektor Mohd Zain Mat Dris.
Sejumlah 40 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk memandu laju, lesen dan cukai jalan tamat tempoh.
Sementara itu, akhbar Sin Chew melaporkan, pihak polis telah mengenal pasti anggota trafik yang meminta ‘duit kopi’ daripada warga Singapura seperti yang disiarkan dalam klip video yang dinyatakan sebelum ini.
Menurut akhbar itu, anggota berkenaan telah digantung jawatan sementara menunggu siasatan dijalankan.
Klip video selama 1.59 minit tersebut memperlihatkan pemandu warga Singapura itu yang menyeberang ke Malaysia melalui Tambak Johor telah ditahan polis trafik kerana memandu laju yakni 125 kilometer sejam, berbanding 110 kilometer sejam seperti yang dibenarkan undang-undang.
Rakaman tersebut tidak menyatakan secara tepat di mana kejadian itu berlaku tetapi laman web berkenaan turut memuatkan beberapa keping gambar operasi polis trafik di tempat kejadian.
Di dalam klip video yang dirakamkan pada tarikh 8 Julai lalu, namun baru dimuatkan di internet ini pada mulanya menunjukkan anggota trafik berkenaan telah meminta sesuatu dipercayai kad pengenalan atau lesen memandu dari pemandu tersebut, sebagaimana prosedur biasa.
Namun beberapa saat kemudiannya, anggota polis trafik itu bagaikan sudah biasa mengamalkan rasuah jalanan, menebalkan muka meminta ‘duit kopi’ sebanyak RM100 untuk mengelak pemandu itu disaman, namun jumlah tersebut tidak dipersetujui oleh pemandu itu.
Kemudiannya proses tawar menawar berlaku dan jumlah ‘duit kopi’ itu berjaya dikurangkan kepada RM50 oleh pemandu warga Singapura tersebut.
Setelah membayar wang berjumlah RM50, pemandu warga Singapura itu dilepaskan pergi oleh anggota polis trafik itu sambil menyelitkan wang yang diterima di bawah buku saman miliknya.
Video klip berkenaan turut menggunakan lagu tema ‘Malaysia Truly Asia’ sebagai muzik latarnya sebagai satu sindiran sinis kepada Malaysia, di mana lagu itu digunakan oleh Kementerian Pelancongan untuk mempromosikan kehebatan negara ke mata dunia.
hanz

hanz

No comments:

Post a Comment

Related

Powered by Blogger.