Yuna-Ana Raffali Bukan Pesaing – Aidit Alfian
NAMA penyanyi dan komposer baru wanita seperti Ana Raffali, Yuna dan Zee Avi kerap kali meniti di bibir peminat industri seni muzik tempatan.
Lagu Hujan Bunga Di Kuala Lumpur sinonim dengan Ana, lagu Dan Sebenarnya sinonim dengan Yuna manakala lagu Kantoi sinonim dengan Zee Avi dan sering diputarkan di corong radio.
Walaupun mereka berbeza, namun perjuangan mereka sama, iaitu untuk ‘menjual’ lagu dan suara sekaligus menempa kejayaan dalam industri ini.
Langkah demi langkah yang mereka susun dalam industri ini bagaikan cendawan mekar sehingga mereka sudah mampu mengumpul peminat tersendiri.
Buktinya, lihatlah sendiri berapa ramai peminat yang menyertai Facebook atau laman web kelab peminat masing-masing.
Peminat Zee Avi misalnya, tidak perlu dipertikaikan lagi kerana anak jati Sarawak itu bukan sahaja dikenali di negara ini malah juga di Amerika Syarikat.
Tidak kurang juga, ramai yang memandang kehebatan Ana Raffali dan Yuna adalah sama. Kedua-duanya sama bagus dalam bidang nyanyian dan penciptaan lagu.
Namun, komposer tersohor Aidit Alfian, 41, menolak dakwaan bahawa Yuna dan Ana Raffali menjadi pesaing antara satu sama lain.
“Yuna bukan pesaing Ana dan Ana bukan pesaing Yuna. Latar belakang dan karakter mereka tidak sama. Ana anak orang susah dan menyanyi untuk orang-orang tertentu.
“Ikutkan, dia mempunyai lagu-lagu dalam bahasa Inggeris yang belum dirakam. Tetapi saya nasihatkan supaya tidak keluarkan semua dulu. Semuanya dirancang sedikit demi sedikit,” jelasnya kepada mStar Online.
Setakat ini, Ana sudah mengumpul lebih kurang ratusan lagu. Kerjayanya sebagai penyanyi dan komposer tidak perlu dipertikaikan lagi.
“Ana mempunyai suara tersendiri dan tidak banyak perkara yang ada pada dirinya sama dengan apa yang ada pada penyanyi lain. Dia boleh diajar dan mempunyai pandangan tersendiri.
“Dia bukan sahaja bolah menggubah lagu, malah dia sudah mempunyai syarikat penerbitan sendriri iaitu Ana Raffali Muzik Enterprise.
“Tidak ramai orang yang ada hak memegang lagu mereka sendiri,” katanya yang turut mempunyai syarikat penerbitan Indah Karya Publishing.
Tambah Aidit, pada awal lagi dia sudah menasihatkan Ana untuk menubuhkan syarikat penerbitannya untuk menjadi bekalan seumur hidup.
“Saya nak dia kekal lama dalam industri ini dan berharap dia sentiasa boleh diajar dan menghormati orang lain,” ujarnya yang mula serius dalam industri sejak tahun 1998.
Aidit pernah menerbitkan album duet berjudul Anak Alam bersama komposer Arab pada tahun 1991 sebelum menyertai kumpulan BABA sebagai gitaris dan tampil dengan album Aku Bukan Badut pada tahun 1996.
Kini, dia sudah berjaya menerbitkan lebih 100 buah lagu pelbagai genre termasuk pop dan pop nasyid.
Dia mendirikan rumah tangga dengan Azura Haniza, 41, dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Indah Fitriati, 13, Teguh Budiman, 12, Cahaya Deeni, 8, dan Murni Hati, 2.
ramli sarip lagi best...
ReplyDelete