Berkemas ada kalanya meletihkan tetapi bagi sesetengah individu, mengemas dianggap satu bentuk terapi peribadi.
Siapa yang tidak gembira melihat rumah dikemas rapi atau meja bersusun elok. Malah, terapi yang mungkin meletihkan itu mampu membawa kegembiraan dan membuatkan diri kurang terbeban.
Ia mungkin mengambil masa jika pelbagai barang lama perlu disingkirkan namun ada teknik mudah yang boleh diikuti untuk memastikan persekitaran di rumah atau pejabat sentiasa rapi. Panduan berikut mungkin dapat membantu kita berkemas:
# Jika ingin mengemas almari yang sarat dengan pelbagai barangan atau pakaian lama misalnya, keluarkan semua barangan itu di lantai terlebih dulu Kemudian, pilih barangan yang diingini saja dan tempatkan semula di dalam almari itu.
Selebihnya, jika barangan masih elok, berilah kepada rakan atau dermakan ke rumah kebajikan.
Meletakkan barangan di lantai sedikit sebanyak memberi kesan atau desakan untuk berkemas. Ini kerana, lazimnya kita tidak mahu melihat barangan bersepah di lantai untuk jangka masa lama lantas ia mendorong kita untuk segera berkemas.
# Apabila melihat sesuatu barangan, fikirkan sama ada ia membawa kenangan manis atau sebaliknya. Barangan yang dianggap sentimental seharusnya membuatkan kita gembira. Tetapi bukan langkah bijak menyimpan barangan yang hanya membawa kenangan yang kurang menarik.
# Adakah sesuatu barangan itu mempunyai tempat khas untuknya? Jika tidak dapat membayangkan tempat sesuai untuk barangan terbabit, mungkin ia tidak perlu disimpan lama.
# Fikirkan jika ada orang lain mungkin rakan atau keluarga yang lebih menghargai barang yang dimiliki itu. Jika ada, tempatkan barang itu dalam senarai untuk diberikan kepada orang lain.
# Bila kali terakhir anda menggunakan sesuatu barangan itu? Jika sudah lebih daripada tiga bulan dan ia bukannya barang yang digunakan secara bermusim, anda mungkin tidak perlukan barangan terbabit malah mungkin anda tidak perasan jika ia tiada dalam simpanan.
No comments:
Post a Comment