Waktu Diharamkan Solat | - Blog Hanz -
Breaking News
recent

Waktu Diharamkan Solat




Solat adalah ibadah yang dilakukan dengan perkataan dan perbuatan khusus yang dimulakan dengan takbir dan diakhiri dengan salam. Solat terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Solat wajib/ fardhu dan juga solat sunat.



Solat wajib iaitu solat lima waktu manakala solat sunat pula seperti solat dua hari raya, solat sunat rawatib dan beberapa solat sunat yang lain.

Solat wajib punyai waktu-waktunya yang tersendiri begitu juga dengan beberapa solat sunat. Umumnya sesetengah solat sunat boleh sahaja dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja melainkan pada waktu yang diharamkan kita bersolat. Waktu-waktu yang diharamkan kita bersolat adalah sebagaimana yang berikut:

Haram hukumnya menunaikan solat pada tiga waktu selain yang telah dikecualikan oleh sebahagian ulama’ mazhab. Waktu tersebut adalah :

1. Ketika matahari terbit sehingga sedikit naik, baik solat fardhu, solat sunat, samada secara tunai atau qadha.

Perkara tersebut berdasarkan riwayat: Daripada Uqbah bin Amir r.a dia beliau berkata :
” Tiga waktu yang kami dilarang oleh Rasulullah SAW menunaikan solat dan mengebumikan orang mati; Ketika tepat matahari terbit sehingga naik,ketika betul-betul tengah hari ( matahari naik tegak atas kepala )dan ketika matahari condong ( hampir terbenam ) sehingga benar-benar terbenam.” ( Riwayat Ahmad,Muslim,Nasai,Ibnu Majah,Tirmizi,Abu Daud )

Ulama’ Syafi’eyah dan Malikiyyah dalam masalah ini mengecualikan Solat Subuh dan Asar. Jika seseorang menunaikan Solat Subuh dan tinggal satu rakaat kemudian masuk waktu tepat matahari terbit , maka dia boleh meneruskan solat itu sehingga selesai. Begitu juga dengan Solat Asar.

Jika seseorang menunaikan Solat Asar dan tinggal satu rakaat sahaja lagi kemudian tiba waktu betul-betul terbenamnya matahari maka dia boleh meneruskan solatnya sehingga selesai.

Menurut Ulama’ Hanafiyyah pula apabila seseorang solat dan ditengah-tengah solat matahari terbit, maka batal solatnya tersebut. Jika yang dilakukan adalah Solat Asar dan tinggal satu rakaat sahaja kemudian tiba waktu matahari terbenam, maka solatnya boleh diteruskan dan sah sebagaimana menurut kebanyakan ulama’.

Perkara tersebut merujuk kepada hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
” Siapa yang mendapat satu rakaat dari salah satu solat, maka dia telah mendapat solat tersebut.”

Di dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari disebutkan maksudnya:
” Apabila salah seorang kamu semua mendapat satu sujud dari solat Asar sebelum terbenam matahari,maka sempurnalah solatmu. Dan jika mendapat satu sujud pada Solat Subuh sebelum terbit matahari,maka sempurnalah solatnya.” Maksud perkataan sujud dalam hadis tersebut adalah rakaat.

2. Ketika istiwa’ iaitu matahari berada tepat di atas kepala pada tengah hari sehingga tergelincir sedikit.

Perkara ini berdasarkan kepada hadis Uqbah di atas. Namun demikian Ulama Malikiyyah dan Syafieyyah mengecualikan pada hari Jumaat dan ketika solat di Masjidil Haram, Mekah. Perkara ini disepakati juga oleh Ulama Hambali dalam bab dibolehkan menunaikan solat Tahayyatul Masjid dalam waktu tersebut pada hari Jumaat.

Demikian juga pendapat Imam Abu Yusof yang beraliran Ulama Hanafiyyah. Dalilnya merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah r.a berkata:” Rasulullah SAW membenci solat pada tengah hari selain hari Jumaat dan bersabda:” Sesungguhnya api neraka jahanam menyala kecuali pada hari Jumaat.” ( Riwayat Abu Daud ).

Adapun dalil yang mengecualikan solat yang dilakukan di Masjidil Haram di Kota Mekah adalah riwayat daripada Jubair bin Muth’im bahawa Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya:” Wahai Bani Abdi Manaf janganlah kamu semua menghalang seseorang yang akan tawaf di rumah ini ( Masjidil Haram ) dan jangan pula menghalang orang yang hendak solat pada waktu bila pun di malam atau siang hari. ” ( Riwayat Ashabus Sunan dan disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Tirmizi )

3. Ketika matahari kekuning-kuningan hendak terbenam sehingga benar-benar terbenam iaitu kira-kira seseorang mampu melihat ke arah terbenamnya matahari. Dikecualikan bagi solat asar yang telah mendapat satu rakaat dan solat di Masjidil Haram sebagaimana merujuk dalil hadis-hadis di atas.

Also See and Read This : READ MORE
hanz

hanz

No comments:

Post a Comment

Related

Powered by Blogger.