DATO MAHARAJA LELA | - Blog Hanz -
Breaking News
recent

DATO MAHARAJA LELA




Sejak kebelakangan ini banyak kisah pasal pejuang kemerdekaan dan pahlawan-pahlawan Melayu yang pernah menentang penjajah Inggeris di blog-blog pembangkang. Bagaimana rasanya jika diantara pejuang kemerdekaan dan pahlawan-pahlawan Melayu yang pernah menentang penjajah Inggeris suatu ketika dahulu yang tercatat dalam buku sejarah adalah moyang kita yang pernah dihukum bunuh oleh Inggeris ketika menjajah Tanah Melayu?. 

Datuk nenek moyang isteri dan anak-anak penulis adalah dari keturunan Dato Maharaja Lela yang suatu masa dahulu sangat berkuasa di Pasir Salak, Perak. Walaupun peristiwa itu berlaku 136 tahun yang lalu sudah dilupai oleh kebanyakkan kita dan kini hanya menjadi bahan sejarah. 

Dalam buku sejarah tempatan mencatatkan beliau dihukum gantung di Matang, Perak seperti yang dilakukan Inggeris kepada Mat Indera. Tetapi pembesar yang lain seperti Sultan Abdullah, Ngah Ibrahim dan beberapa pembesar Perak kesemuanya yang seramai 47 orang telah dibuang ke Pulau Seychelles yang terletak berhampiran Pulau Maldives dan Mauritius. 

Kenapa pembesar Perak yang lain dibuang negeri sedangkan Dato Maharaja Lela dan Si Puntum (orang asli) dihukum bunuh? Mungkin agaknya mereka yang lain tidak terlibat secara langsung semasa pembunuhan Birch tetapi berkomplot dalam rancangan untuk membunuh JWW Birch yang angkuh.

SEJARAH RINGKAS

Dato' Maharaja Lela Pandak Lam (meninggal dunia: 20 Januari 1877) ialah seorang pembesar kelapan Perak yang merupakan pejuang bangsa yang bertanggungjawab kepada sumpah dan janjinya tetapi dikecewakan oleh raja dan bangsanya sendiri.

Seorang keturunan Daeng Salili, Pandak Lam adalah anak Raja Bugis yang berasal dari Daerah Luwuk, Sulawesi. Semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III, beliau datang ke Perak dan dilantik sebagai mufti serta dianugerahkan gelaran "Dato' Maharaja Lela Tan Lela", dengan kuasa boleh memancung tanpa bertanya.

Beliau merupakan pemimpin yang mengetuai perjuangan menentang British di Perak. Bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin yang lain seperti Orang Kaya-kaya Seri Agar Diraja (lebih dikenali sebagaiDato' Sagor) dan Ngah Kandin, beliau merancang dan membuat pakatan untuk membunuh James Wheller Woodfird Birch (J.W.W. Birch), Residen British Perak. Keputusan itu diluluskan oleh mesyuarat Durian Sebatang yang dipengerusikan oleh Sultan Abdullah dan dihadiri oleh pembesar-pembesarnya pada 21 Julai 1875. Namun, beliau didapati bersalah terhadap pembunuhan J.W.W. Birch pada 2 November 1875 di Pasir Salak oleh mahkamah yang bersidang dari 14 Disember hingga 22 Disember 1876 di Matang, Perak. Beliau dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada 20 Januari 1877 di Taiping.

Orang Besar Delapan yang berkuasa menghukum pesalah. Bertanggungjawab mempertahankan rajanya daripada sebarang ancaman. Menguasai Pasir Salak sehingga ke Sungai Dedap. Seorang pembesar yang gagah dan mempunyai kedudukan yang tinggi susunan ke tujuh dalam hirarki bangsawan Perak. Bersama dengan Sultan Syed Ismail Kinta dan Che Ngah Ibrahim mempertahankan agama dan tanahair daripada ancaman penjajah Inggeris. Syahid digantung sampai mati kerana terlibat secara langsung menghapuskan agen British JWW Birch.

Pembunuhan J.W.W Birch di Pasir Salak

Pembunuhan J.W.W Birch adalah berpunca daripada rasa tidak puas hati Sultan Abdullah Muhammad Shah II dan pembesar negeri terhadap tindak-tanduk Birch. Birch telah menggunakan kedudukannya sebagai Residen Inggeris di Perak dengan meminta Sultan Abdullah menandatangani pengisytiharan untuk membolehkannya mengambil alih kuasa kerja-kerja mengutip cukai daripada pembesar-pembesar Perak tetapi telah ditolak oleh Sultan Abdullah.

Pada 20hb Julai 1875, J.W.W Birch sekali lagi mendesak Sultan Abdullah menurunkan tandatangannya dan mengugut Sultan akan diturunkan daripada takhta seandainya baginda enggan menandatangani surat penyerahan kuasa tersebut. Akibatnya Sultan Abdullah terpaksa akur dengan ugutan Birch dan menandatangani surat perjanjian tersebut.

Rentetan daripada peristiwa itu, sebanyak 7 kali mesyuarat sulit telah diadakan oleh Sultan Abdullah Muhammad Shah dengan orang-orang besarnya bagi membincangkan perihal pembunuhan J.W.W Birch yang diadakan dari bulan Mac hingga September 1875.


Gambar dari kiri Dato' Maharaja Lela, Sultan Abdullah dan Dato' Sagor (sumber gambar: Amir Hamidi)

Dalam mesyuarat sulit tersebut, sebanyak 5 cara telah dicadangkan. Laksamana Mohamad Amin telah mencadangkan Birch diracun, Dato’ Maharaja Lela pula mencadangkan Birch ditikam, Dato’ Sagor pula mencadangkan menyerang Bandar Baru dan membunuh Birch, dan Sultan Abdullah sendiri mencadangkan agar Birch disihir.

Dalam mesyuarat terakhir yang berlangsung di rumah Dato’ Maharaja Lela, pada 30hb Oktober 1875, satu keputusan muktamad telah dicapai untuk membunuh Birch di Pasir Salak. Dato’ Maharaja Lela yang diberi kuasa membunuh Birch telah menganugerahkan baju, tengkolok dan pedang kepada Pandak Indut sebagai wakilnya untuk membunuh Birch.


Sultan Abdullah bersama-sama dengan JWW Birch, Raja Chulan (di atas riba Birch), Dato’ Laksamana, Swettenham dan Dato’ Syahbandar. Dato’ Sagor (bulatan) berdiri di belakang Sultan Abdullah. Gambar ini diambil di Bandar Bahru pada 1875. Sumber gambar: Amir Hamidi.

Saat J.W.W Birch dibunuh di Pasir Salak

J.W.W Birch dibunuh ketika sedang mandi di atas rakit berdekatan perahunya. Birch ketika itu baru balik dari lawatannya di Pasir Salak untuk melihat kerja-kerja menampal poster pengisytiharan Inggeris mengambil alih pungutan cukai, dan bercadang untuk bermalam dalam perahu sebelum pulang ke Bandar Baru pada keesokkan hari.

Pandak Indut telah diarahkan oleh Dato’ Maharaja Lela merejam lembing ke arah tempat Birch mandi. Rejaman tersebut menyebabkan Birch jatuh ke dalam sungai. Birch yang masih bernyawa berenang ke darat meminta pertolongan dan pada ketika itulah Si Puntum menerpa dan menetak kepala Birch dengan parang panjangnya. Mayat Birch ditemui pada petang keesokkan harinya, sejauh 182.9 meter dari tempat kejadian.

Kematian Birch telah menyebabkan Inggeris berang dan melancarkan perang besar-besaran terhadap orang-orang Melayu Perak dengan tujuan untuk menangkap pembunuh J.W.W Birch. Pasukan polis, tentera dan tentera laut Inggeris di bawah pimpinan Kapten Speedy telah mengepung perairan Perak. Rumah-rumah orang Melayu yang disyaki telah dibakar, kota pertahanan orang-orang Melayu di Batak Rabit telah diserang habis-habisan dan akhirnya ditawan. Askar-askar Inggeris terus mara di sepanjang Sungai Perak dan membunuh tanpa belas kasihan. Sungguhpun kekurangan senjata dan taktik peperangan, orang-orang Melayu Perak masih mampu melawan serangan Inggeris seperti yang berlaku di Kota Lama. Peperangan ini telah berlarutan sehingga tahun 1876 dan berakhir setelah semua yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan J.W.W Birch ditangkap dan dibicarakan.


J.W.W Birch merupakan seorang Residen Inggeris yang paling angkuh, suka memperlekeh dan merendah-rendahkan kedaulatan Perak telah menerbitkan api dendam yang membara di dalam dada orang-orang besar Perak, sehinggakan terbit gerakan sulit untuk membunuh J.W.W Birch. Diantara perangai buruknya, suka mengacau perempuan Melayu dan melarikan isteri orang. Itu yang membuat orang Melayu nekad menghapuskan Birch selain dari gila kuasa untuk meluaskan penguasaan di negeri Perak.


TEMPAT BIRCH DIBUNUH


KUBU DATO MAHARAJALELA MEMPERTAHAN SERANGAN PIHAK INGGERIS

Wasallam..
hanz

hanz

No comments:

Post a Comment

Related

Powered by Blogger.