Ferrari F1 rebah di Albert Park
MELBOURNE - Badi malang terus menimpa pasukan Ferrari pada perlumbaan Grand Prix (GP) Australia.
Selepas gagal meraih sebarang mata pada perlumbaan edisi 2008 lalu, Ferrari meneruskan rekod buruknya di Litar Albert Park semalam apabila turut gagal mengutip sebarang mata.
Juara 2007, Kimi Raikkonen awal-awal lagi sudah terkeluar daripada persaingan selepas melanggar tembok penghadang pada pusingan ke-49.
Naib juara 2008, Felipe Massa (gambar) pula terpaksa meninggalkan litar pada pusingan ke-52 gara-gara masalah teknikal pada stereng jenteranya.
"Ia sangat jelas bahawa kami gagal mencapai apa yang dirancang," jelas Raikkonen.
"Ini memaksa kami untuk lebih bekerja keras pada perlumbaan seterusnya.
"Apa pun, saya akui kesilapan yang dilakukan pada perlumbaan hari ini (semalam) dan ia adalah satu kegagalan yang teruk."
Sementara itu, Massa pula baik pada awal perlumbaan apabila berada di tangga keempat di belakang pencabarnya tahun lalu, Lewis Hamilton.
Selain kegagalannya pada stereng jenteranya, Massa juga berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan penggunaan tayar di litar tersebut.
"Secara jujurnya, saya akui ini adalah permulaan yang cukup mengecewakan buat saya," jelas pemandu Brazil itu.
"Ia selalunya sukar untuk menamatkan perlumbaan di Australia pada kedudukan terbaik.
"Kami tahu, dalam F1, segala-galanya boleh berubah. Jadi, kami perlu kembali ke asal dan perlu lebih bekerja keras."
No comments:
Post a Comment