Pinjaman Perniagaan MARA
MARA atau Majlis Amanah Rakyat adalah merupakan antara agensi kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Antara bidang tugas yang perlu dilaksanakan oleh MARA adalah berkaitan bidang keusahawanan dan perniagaan seperti Program Pembangunan Usahawan, Pembangunan Industri dan Perniagaan, Pembiayaan Perniagaan serta dipertanggungjawabkan untuk mengusahakan pembangunan Premis Perniagaan. Selainbidang keusahawanan, MARA juga turut berperanan dalam membantu menaikkan taraf pendidikan negara. Boleh dikatakan setiap tahun MARA memperuntukkan
sejumlah besar daripada kewangan mereka untuk disalurkan dalam bentuk tajaan dan pinjaman kepada para pelajar dalam pelbagai bidang. MARA juga turut dikenali dalam bidang pendidikan melalui penubuhan Maktab Rendah Sains MARA atau MRSM. Apa yang dapat dirumuskan secara ringkas adalah MARA begitu gigih dalam menghasilkan lebih ramai usahawan-usahawan di negara kita selain sentiasa berusaha untuk melahirkan lebih ramai golongan bijak pandai di negara kita.
sejumlah besar daripada kewangan mereka untuk disalurkan dalam bentuk tajaan dan pinjaman kepada para pelajar dalam pelbagai bidang. MARA juga turut dikenali dalam bidang pendidikan melalui penubuhan Maktab Rendah Sains MARA atau MRSM. Apa yang dapat dirumuskan secara ringkas adalah MARA begitu gigih dalam menghasilkan lebih ramai usahawan-usahawan di negara kita selain sentiasa berusaha untuk melahirkan lebih ramai golongan bijak pandai di negara kita.
MARA juga telah menetapkan misi korporatnyauntuk menerajui bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan untuk pengusahaan ekuiti Bumiputera. Untuk itu, MARA turut meletakkan sasaran bagi melahirkan usahawan yang berjaya dan inovatif, melahirkan modal insan global dan berintegriti, menyumbang kepada pemilikanekuiti, serta memudahkan sistem penyampaian. Bagi memastikan segala misi dan tujuan yang disasarkan tercapai, pihak MARA sedia membantu sesiapa sahaja terutama bagi mereka-mereka yang berminat untuk menjalankan apa jua jenis perniagaan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan. Bantuan yang diberikan oleh MARA adalah dalam bentuk pinjaman atau pembiayaan.
Skim Pembiayaan Perniagaan yang diperkenalkan oleh MARA adalah meliputi mana-mana sektor perniagaan yang tidak bercanggah dengan Syariat Islam. MARA akan membantu perniagaan-perniagaan seperti Sektor Pembuatan, Perdagangan, Perkhidmatan dan Pemborongan. Sektor Pembuatan adalah seperti perusahaan perkilangan yang mengusahakan makanan dan minuman, plastik, elektrik dan komponennya, tekstil pakaian dan kulit, hasil pertanian, serta telekomunikasi. Konsep Perdagangan pula melibatkan urusan jual beli barangan seperti penjualan perabot, peruncitan, pasar mini, stesen minyak dan mana-mana yang berkaitan dengan aktiviti perdagangan. Kedai gunting rambut, restoran atau kedai-kedai makan, guaman dan klinik pula antara contoh bagi sektor Perkhidmatan. Pemborongan yang dimaksudkan oleh MARA pula adalah bagi kerja-kerja kontrak binaan, bekalan dan perkhidmatan seperti membina bangunan, membuat jalan dan pendawaian elektrik. Skop pembiyaan perniagaan yang ditekankan oleh MARA ini jelas tidak bertentangan langsung dengan hukum-hukum Islam.
Skim-Skim Pembiayaan Yang Ditawarkan Oleh MARA
- Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPPP)
SPPP ditawarkan bagi membiayai mana-mana projek perdagangan, pekhidmatan, pembuatan dan pengangkutan. Had pembiayaan atau pinjaman yang diberikan kepada Syarikat Milik Tunggal/ Persendirian adalah sehingga RM250,000 manakala untuk Syarikat Sendirian Berhad sehingga RM500,000. MARA akan menilai terlebih dahulu tentang belanjawan kasar bagi sesuatu projek sebelum meluluskan sebarang pinjaman.
- Skim Pembiayaan Komersial
Skim Pembiayaan Komersial adalah bagi tujuan pembelian premis perniagaan yang bertaraf kekal dan siap dibina atau pembinaan premis perniagaan di atas tanah milik sendiri. Had pinjaman yang diberikan MARA bagi Skim Pembiayaan Komersial adalah sama seperti Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan.
- Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE)
SPiKE pula ditawarkan kepada kerja-kerja kontrak pembinaan, bekalan, perkhidmatan, dan kerja-kerja elektrik. Pinjaman yang diberikan adalah kepada mana-mana kontraktor kelas F, D dan E. Kadarpinjaman yang boleh diluluskan MARA adalah sehingga RM500,000.
- Skim Jaminan Usahawan MARA (SJUM)
Merupakan antara skim yang memberikan kemudahan pinjaman kepada usahawan-usahawan Bumiputera yang terpilih. Bagi memastikan SJUM dapat dilaksanakan dengan baik, MARA telah bekerjasama dengan bank komersial yang menawarkan kemudahan pembiayaan dan MARA berperanan sebagai penjamin. SJUM juga menawarkan jumlah pinjaman tertinggi sehingga mencecah RM2 juta dan serendah RM500,000.
Keempat-empat skim yang diperkenalkan mempunyai pengkhususan tersendiri dan kesemuanya adalah bertujuan untuk membantu usahawan-usahawan yang berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan yang sedia ada atau membuka perniagaan baru.
Prosedur Permohonan Pembiayaan Perniagaan
Terdapat beberapa prosedur yang digariskan oleh MARA untuk mana-mana syarikat yang berminat untuk mendapatkan bantuan pinjaman yang ditawarkan. Bagi Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE) dan Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPPP), borang permohonan boleh didapati melalui mana-mana Pejabat MARA Daerah/Negeri yang berhampiran. Sebanyak empat borang yang perlu didapatkan iaitu :
- Borang Permohonan Pembiayaan Perniagaan
- Borang Maklumat Peribadi
- Borang Jaminan/Cagaran
- Senarai Semak Permohonan Pembiayaan
Sejumlah bayaran pemprosesan permohonan juga dikenakan mengikut kadar pinjaman yang dimohon. Bagi Skim Jaminan Usahawan MARA (SJUM), permohonan boleh dilakukan dengan menggunakan rancangan perniagaan kepada bank komersial yang berhampiran iaitu Bahagian Pembiayaan Perniagaan MARA dan Bank Muamalat Malaysia Berhad.
Para usahawan boleh membuat permohonan di Pejabat MARA Daerah dan setelah diteliti oleh Pejabat MARA Daerah, borang tersebut akan dihantar kepada Pejabat MARA Negeri/Bahagian Pembiayaan Perniagaan dan sekiranya Pejabat MARA Daerah tidak berpuas hati, borang-borang tersebut akan dikembalikan semula kepada pihak pemohon. Pejabat MARA Negeri/Bahagian Pembiayaan Perniagaan bertindak sama ada untuk meluluskan atau tidak permohonan yang telah dibuat. Pejabat MARA Negeri mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan sebarang keputusan bagi permohonan yang melibatkan Skim SPiKE dan Skim SPPP yang melibatkan permohonan pembiayaan sehingga RM250,000. Bahagian Pembiayaan Perniagaan pula berbidang kuasa untuk sebarang permohonan Skim SPPP yang berjumlah RM250,001 sehingga RM500,000 dan Skim SJUM. Sebarang keputusan akan dimaklumkan oleh MARA kepada pihak pemohon dalam tempoh 14 hari bekerja.
Selain itu, bagi memudahkan para pelanggan, MARA turut menyediakan garis panduan berkaitan bagaimana untuk menyediakan rancangan perniagaan. Tujuan rancangan perniagaan perlu disediakan adalah untuk membolehkan usahawan melihat dan menilai projek secara objektif, kritikal dan praktikal. Selain itu, rancangan perniagaan dapat menjadi satu kayu ukur bagi pengurusan perniagaan dalam masa yang sama mengkaji sama ada projek yang akan dilaksanakan berdaya maju atau sebaliknya. Rancangan perniagaan juga berperanan untuk meyakinkan pihak-pihak tertentu terhadap idea-idea perniagaan dan sebagai asas bagi cadangan pembiayaan. Dengan adanya rancangan perniagaan, maka objektif dan peluang untuk melaksanakan perniagaan tersebut adalah lebih cerah dan mudah.
Dalam persoalan cagaran atau jaminan pula, MARA telah mengenalpasti beberapa langkah dan kaedah. Bagi Jaminan Orang Perseorangan iaitu bagi yang bermajikan, adalah dibenarkan dengan mengambil mana-mana kakitangan sektor awam atau swasta sebagai penjamin. Cara kedua pula adalah melalui cagaran tanah. MARA menerima tanah sebagai cagaran bagi tanah yang bebas dari sekatan, milik sendiri, atau milik ibu bapa dan saudara-saudara yang terdekat. MARA turut membenarkan cagaran yang dibuat dengan menggabungkan penjamin dan juga tanah. Selain itu, jaminan tambahan yang dibenarkan adalah seperti jaminan Ahli Lembaga Pengarah untuk Syarikat Sendirian Berhad, Surat Ikatan Serahak bagi pembiayaan kontrak, dan Perjanjian ‘Debenture’ bagi pembiayaan RM250,001 dan ke atas. Cagaran atau jaminan yang dikenakan oleh MARA bertujuan untuk memastikan para usahawan lebih bersungguh-sungguh dan gigih menjalankan perniagaan apabila telah mendapat pembiayaan daripada MARA.
MARA turut menyediakan perkhidmatan taklimat pembiayaan yang telah dijadualkan mengikut tarikh-tarikh tertentu. Ini bagi memastikan, para usahawan berpeluang untuk mengetahui lebih lanjut tentang skim-skim pinjaman yang ditawarkan. Taklimat pembiayaan yang diadakan juga merupakan salah satu strategi bagi MARA mempromosikan skim-skim yang ada kepada msyarakat secara umum. Sesiapa sahaja yang berminat boleh menyertai sesi taklimat ini dengan menghubungi pihak MARA untuk mendapatkan butir-butir berkaitan penganjuran taklimat tersebut.
Syarat Kelayakan Permohonan
Namun begitu, para usahawan juga perlulah meneliti terlebih dahulu berkaitan syarat-syarat kelayakan untuk memohon skim-skim yang ditawarkan MARA. Sekiranya ada aman-mana syarat-syarat ini yang tidak dapat dipenuhi oleh pihak pemohon, maka sudah tentu sukar untuk mendapatkan sebarang pembiayaan. Syarat-syarat kelayakan memohon skim-skim MARA adalah seperti berikut :
- Warganegara Malaysia berketurunan Melayu atau Bumiputera
- Berumur 18 tahun dan keatas
- Pengalaman atau pengetahuan dalam bidang perniagaan yang diceburi
- Menjalankan perniagaan sepenuh masa
- Sumbangan modal pemohon 10% daripada kos projek
- Mempunyai lesen/permit/surat kebenaran daripada pihak berkuasa
- Dapat mengemukakan cagaran/jaminan yang mencukupi
- Perlu mengikuti Kursus Keusahawanan jika pengalaman dalam bidang yang diceburi kurang daripada 6 bulan
- Menjalani ujian Psikometri (kecuali Skim SPiKE)
Syarat-syarat yang ditetapkan oleh MARA perlu dipenuhi dan dipatuhi bagi memudahkan segala proses pembiayaan. Apa yang pasti, syarat-syarat ini adalah untuk memastikan para usahawan yang ingin memohon benar-benar bersedia untuk melaksanakan sebarang projek dan perniagaan apabila permohonan pembiayaan telah diluluskan.
Keistimewaan Pembiayaan Perniagaan MARA
Terdapat beberapa keistimewaan bagi pembiayaan perniagaan yang diperkenalkan oleh MARA. Antaranya ialah konsep yang dibawa MARA berasaskan kepada kaedah-kaedah yang diperkenalkan oleh Islam. Terdapat lima kaedah yang diguna pakai dalam mengetengahkan konsep pembiayaan perniagaan MARA. Kaedah-kaedah tersebut adalah seperti berikut :
- Al Bai – Bithaman Ajil (Jualan dengan Harga Tangguh)
Bagi konsep ini, pembiayaan boleh digunakan bagi semua tujuan yang berkaitan dengan perniagaan seperti membeli harta tetap, keperluan modal kerja, belanja mengurus dan jaminan bank.
- Al-Murabahah (Jualan dengan tambang untung)
Digunakan untuk membiayai pembelian bahan mentah, barang-barang separuh siap, barang-barang siap dan kelengkapan alat ganti.
- Al-Ijarah (Pajakan atau Sewaan)
Pelanggan yang memerlukan peralatan loji, mesin, kenderaan atau aset mudah alih boleh menyewa peralata tersebut daripada MARA. Apabila bayaran sewa diselesaikan, peralatan tersebut dipindahmilik kepada pelanggan.
- Bai Al – Inah (Menjual sesuatu barangan dengan harta tangguh kepada pembeli)
Konsep inikhususbagi kegunaan belanja mengurus sahaja seperti membayar gaji, sewa premis, elektrik dan air.
- Musyarakah Mutanaqisah
Perkongsian di bawah kontrak Musyarakah Islam di antara MARA dan pelanggan mengikut perjanjian yang mana salah satu pihak berhak untuk menebus balik kesemua pegangan syer pihak yang satu lagi dalam perkongsian mereka. Konsep ini digunakan dalam Skim Pembiayaan Premis Komersial.
Secara ringkasnya, dapat dirumuskan bahawa MARA sangat prihatin dan aktif dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan Melayu dan Bumiputera. Skim-skim yang diperkenalkan MARA bertujuan untuk membantu para usahawan yang tidak mempunyai modal yang secukupnya untuk mengembangkan perniagaan mereka. Oleh itu, kesemua skim-skim yang ditawarkan MARA dilihat begitu berkesan dalam langkah mengangkat kedudukan ekonomi negara ke satu tahap yang lebih baik. Usaha MARA perlu terus disokong demi pembangunan negara ke arah lebih maju dan berkembang. Diharapkan agar MARA terus berdiri teguh dan menjadi nadi dalam memartabatkan bidang keusahawanan di negara ini.
No comments:
Post a Comment