Solat sunat: GERHANA BULAN | - Blog Hanz -
Breaking News
recent

Solat sunat: GERHANA BULAN

Bismillahirrahmaanirrahiim.. Rasulullah s.a.w telah bersabda:
Sesungguhnya matahari dan bulan tidaklah menjadi gerhana disebabkan kematian seseorang atau kerana dihidupkan seseorang tetapi kedua-duanya adalah termasuk ayat-ayat (tanda-tanda) dari Allah. Oleh itu apabila kamu semua melihatnya maka dirikanlah sembahyang. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Alhamdulillah, di bulan Rejab yang mulia ini, bulan Haram yang disunatkan untuk berpuasa di dalamnya, kita dihadiahkan 1 lagi nikmat besar yang mana di sunatkan bagi kita untuk beramal ibadah padanya. Nikmat itu yang dinamakan Gerhana Bulan.

Jangkaan dari Bahagian Falak, Kompleks Falak Al-Khawarizmi yang diketuai oleh Dr Kassim Bahali menjangkakan hari ini akan timbul gerhana bulan penuh dan yang paling unik ialah kejadian ini akan berlaku dua kali, dijangkakan akan berlaku lagi pada Disember ini.


Subhanallah.. Sesungguhnya tiada satu pun yang bisa menandingi ciptaan Allah.
Menurut hadis di atas jelas, bahawa ada suatu sunnah yang harus dijalankan ketika terjadi gerhana. Sunnah yang kini dilupakan. Bahkan terasa asing tatkala dilaksanakan ditengah kalangan masyarakat. Benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW 14 abad silam, bahawa Islam akan kembali menjadi asing sebagaimana awal kedatangannya.

Gerhana Bulan adalah tertutupnya sinar matahari oleh bumi sehingga bulan berada di dalam bayang-bayang bumi. Gerhana bulan terjadi saat matahari, bumi dan bulan berada pada garis lurus di mana bulan terletak di belakang bumi dan dan bumi berada di antara matahari dan bulan. Saat terjadinya gerhana bulan adalah pada malam purnama.


Kedudukan matahari, bulan & bumi ketika Gerhana Bulan

Di negara kita pada tahun ini gerhana bulan dijangka berlaku pada 16 Jun 2011. Gerhana bulan penuh bermula dari jam 3.22 am hingga 5.05am. Pada jam 1.22 pagi, bulan baru sahaja memasuki kawasan bayang-bayang penumbra. Kemudian ia akan memasuki kawasan bayang-bayang umbra pada jam 2.22 pagi. Fasa Gerhana Penuh secara rasminya akan bermula pada jam 3.21 pagi. Wallahua’lam.


Gerhana Bulan yang terakhir; 2008
Setiap dari kejadian Tuhan itu pasti ada kelebihan padanya. Maka telah disarankan kepada kita ummat Nabi Muhammad SAW untuk berlumba lumba merebut peluang yang ada bagi sama-sama meningkatkan saham akhirat kelak.  Menerusi sekian banyak hadis berkaitan gerhana, terdapat beberapa perkara sunat yang dianjurkan supaya dilakukan semasa kejadian gerhana. Di antaranya ialah:

Solat dan berdoa.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu melihat kedua-duanya (gerhana matahari dan bulan), maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga dihapuskan apa yang kamu hadapi”.
Syari’at Solat Kusuf (gerhana matahari) & Khusuf (gerhana bulan), hukumnya adalah sunat muakkadah atau pun sunat yang digalakkan.
Dari ’Aisyah r.a. berkata : ”Telah terjadi gerhana matahari pada zaman Rasulullah saw. Lalu Nabi mengutus seorang munadi (penyeru) mengumandangkan: “As-solatu Jami’ah”. Kemudian baginda solat 4 kali ruku’ pada 2 raka’at dan 4 kali sujud.”

Cara-cara Solat Gerhana


Niat solat gerhana
Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :
Rakaat pertama
1. Niat solat Gerhana, Takbir
2. Baca Surah Al-Fatihah dan surah
3. Rukuk
4. I’tidal
5. Baca Al-Fatihah dan surah
6. Rukuk.
7. I’tidal.
8. Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.
Rakaat kedua
1. Niat solat Gerhana, Takbir.
2. Baca Al-Fatihah dan surah.
3. Rukuk.
4. I’tidal,
5. Baca Al-Fatihah dan surah.
6. Rukuk.
7. I’tidal.
8. Sujud
9. Tahiyyat Akhir
10. Salam

Berzikir dan beristighfar.

Abu Musa berkata: “Telah berlaku gerhana matahari. Maka Rasulullah SAW berdiri dalam keadaan cemas kerana bimbang akan berlaku Kiamat. Lalu Baginda SAW tergesa-gesa pergi ke masjid dan solat dengan berdiri yang terlalu panjang serta rukuk dan sujud yang panjang, yang tidak pernah aku lihat Baginda SAW melakukan seperti itu.

Berlindung daripada azab kubur.

Diriwayatkan oleh Aisyah ra: “Setelah Nabi SAW selesai menyampaikan khutbah gerhana matahari, maka Baginda SAW memerintahkan para sahabat supaya memohon perlindungan dari azab kubur.”

Bersedekah.

Sabda Rasulullah SAW: “Apabila kalian melihat gerhana, maka hendaklah kalian berdoa kepada Allah, mengerjakan solat dan bersedekah.”

Memerdekakan hamba.

Asma’ ra berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW menyuruh memerdekakan hamba ketika berlaku gerhana matahari. “Dalam satu riwayat: “Gerhana bulan.”

Inilah sunnah Baginda SAW ketika berlakunya peristiwa gerhana bulan atau matahari. Sudah menjadi kewajiban kita selaku ummat Rasulullah saw untuk kembali menghidupkan sunnahnya. Rasulullah saw telah berwasiat kepada ummatnya agar kita sentiasa berpegang teguh pada Al-Quran & sunnah.
Persoalan gerhana hanyalah satu dari sunnah fi’liyyah (perbuatan) Rasulullah yang kini kian dilupakan. Menjadi tugas kita ummat baginda untuk kembali menghidupkan sunnahnya. Wahai sahabatku bangkitlah, kerana hanya ditangan kitalah pewaris Al-ghuraba’ itu ada.
Ayuh anak muda, bangkit hidupkan sunnah Rasul mu!

hanz

hanz

1 comment:

Related

Powered by Blogger.